Home Berita PAS Terengganu

Mohamad Nur Aiman dinobat olahragawan Terengganu

30
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pelumba Pasukan Terengganu Polygon Cycling Club (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Terengganu dalam Anugerah Sukan Terengganu (AST) bagi tahun 2021/2022.

Aiman menewaskan saingan dari senarai akhir pencalonan iaitu Muhammad Shahrul Aimy Kamaru Hisham (Gimnastik), Khairul Anuar Mohamad (Memanah), Zulfikri Zulkifli (Berbasikal) dan Muhammad Izzuddin Abdul Rani (Pelayaran) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, Piala Pusingan dan jaket (blazer) khas serta piala iringan bersama sijil kepujian.

Pelumba berusia 27 tahun itu pernah melakar sejarah menjadi pelumba tempatan pertama meraih jersi merah, Raja Bukit ketika edisi 2020 bersama pasukan Sapura Cycling (TSC) serta meraih pingat emas di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.

Dalam majlis yang berlangsung semalam, penghargaan disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja kepada ibunya, Suzila Rifin berikutan Aiman kini berada di Sepanyol menjalani latihan sebulan bersama TSG.

“Saya memohon maaf kerana tidak dapat hadir.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak TSG yang telah memberi ruang kepada saya untuk memenangi anugerah ini, tidak lupa juga kepada keluarga yang banyak menyokong, kejayaan ini juga memberikan saya semangat untuk lebih bermotivasi pada masa akan datang,” katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan.

Selain Aiman, Anugerah Olahragawati Negeri turut menonjolkan muka baharu apabila dimenangi atlet Karate, Siti Nur Azwani Nor Azli.

Gadis kelahiran Kuala Terengganu itu seakan-akan tidak percaya berjaya mengenepikan saingan Siti Rahmah Mohamed Nasir (Pencak Silat), Nur Aisyah Mohamad Zubir (Berbasikal) dan Azreen Nabila Alias (Olahraga).

“Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.

“Terima kasih mama, papa, jurulatih dan rakan sepasukan, Insya-Allah dengan apa yang saya dapat hari ini, saya akan lebih bersemangat menggalas tugas demi negara,” kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi itu.

Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja turut mengucapkan tahniah kepada kesemua pemenang AST tahun ini.

“Majlis ini adalah maniefestasi dalam menzahirkan komitmen kerajaan negeri bagi melahirkan pengiktirafan kepada semua atlet dan pemimpin-pemimpin sukan atas jasa mereka menaikkan nama Terengganu di persada sukan tanah air.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha menjadikan Terengganu sebagai kuasa utama dalam bidang sukan walaupun terpaksa melalui satu proses yang panjang dan memerlukan dana yang besar. Kerajaan negeri melihat sukan sebagai satu bidang penting untuk diberikan keutamaan sewajarnya.

“Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri sedaya upaya cuba memenuhi keperluan pembangunan kecemerlangan sukan berprestasi tinggi ini dengan kemampuan yang ada,” katanya dalam ucaptama AST di Wisma Darul Iman, semalam.