Home Berita PAS Terengganu

Misi Kemanusiaan untuk Mu Rohingya: “Antara Senyuman dan Tangisan.”

1172
SHARE

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberi kesempatan untuk bersama-sama PASRelief Terengganu yang diketuai oleh Pengerusinya Tuan Haji Yahaya Ali dan Tuan Haji Mohd Sanusi Mohd Nor, Pengarah PASRelief Malaysia di dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dari 13 sehingga 17/11/2017.

Sebuah pengalaman yang cukup berharga menyaksikan pertautan di atas satu aqidah Islam  dan rasa kemanusiaan yang dapat menyatukan hati-hati manusia walaupun tidak pernah bertemu, tidak pernah mengenal malahan bahasa dan budaya yang jauh berbeza di antara satu sama lain Dan benarlah sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Al- Anfal ayat 63 yang bermaksud; “Dan Dialah (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang beriman)” Terima kasih kepada negara Bangladesh dan semua negara-negara yang membantu saudara-saudara Rohingya!!!

Lebih kurang pukul 3.00 pagi, 13 November 2017, kami, anggota rombongan PASRelief Malaysia melangkahkan kaki masuk ke dalam pesawat Bangladesh, BIMAN Airline dan sebelum berlepas,  juruterbang  membacakan doa naik pesawat dan ada juruterbang yang bertakbir Allahu Akbar sebanyak tiga kali sebelum doa dibaca  sebelum memulakan penerbangan samada semasa perjalanan kami pergi dan balik dari Malaysia ke Dhaka,  Dhaka ke Cox’s Bazar. Saya berasa amat bersyukur dan gembira yang tidak terkira.Alangkah bahagianya kalau ianya dapat dipraktikkan di dalam pesawat Malaysia kita.

Sampai kami di lapangan terbang Dhaka, sempat solat subuh berjamaah  di ruangan kosong yang ada sebelum menaiki pesawat ke Cox’s Bazar. Sambil menunggu, sempat juga berkenalan dengan seorang ibu dan 2 orang puterinya yang sedang menunggu kepulangan suami. Alhamdulillah, di tengah2 kepadatan  penduduk seramai 164 juta orang dan miskin. Wanita Islam Bangladesh masih mempertahankan pakaian muslimah, bertudung dan ramai yang berpurdah.

Alhamdulillah. Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya kali ini PASRelief Terengganu dengan  sumbangan sebanyak RM 500, 000 daripada rakyat Malaysia khasnya rakyat Terengganu termasuk muslimat telah berusaha  menyediakan dan membina beberapa projek untuk kemudahan saudara2  Rohingya kita. Sebahagiannya diserahkan kepada NGO tempatan, Coperation of Humanity Activities (CHA) melalui wakilnya Selimullah Musted Ahmad untuk melaksanakan projek-projek yang dicadangkan; pakej makanan untuk 5000 keluarga, 51 buah khemah kediaman, 10 unit Sekolah beserta  buku-buku teks,  44 buah telaga tiub, tempat mandi wanita sebanyak 20 unit, 3 buah masjid, pakaian, selimut dan gaji untuk 10 orang guru selama 7 bulan.

13 November, kami sampai di Cox’ Bazar terus ke tempat penginapan dan pada sebelah petangnya bermulalah misi kami…   dengan menaiki dua buah van menuju ke sebuah tempat  di hujung sempadan antara Bangladesh dan Arakan, Myanmar yang dipisahkan dengan sungai Naf. Tempat yang menjadi tumpuan  pelarian Rohingya masuk ke Bangladesh untuk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing… dikabarkan ada yang datang dengan berenang menyelamatkan diri dan ada yang berjalan kaki berhari-hari lamanya  menaiki dan menuruni bukit dan menyeberangi sungai dengan menggunakan rakit untuk sampai ke kem-kem pelarian di Cox’s Bazar.

Hari-hari berikutnya, 14  dan 15 November berpagi-pagi dari pukul 8 pagi, kami keluar menuju kem-kem di Balukhali, Chakmarkul, Thengkhali, Palongkhali,  Khutupalong untuk membahagi-bahagikan pakej  makanan, selimut serta pakaian sekolah dan duit untuk saudara dan saudari serta anak-anak Rohingya kita dengan pertolongan daripada pihak berkuasa Bangladesh yang menguruskan mereka di kem-kem tersebut. Sememangnya bantuan dan bekalan yang dibawa tidak mencukupi untuk semua tetapi inilah kadar yang termampu.

Kami berjumpa, bersalaman dan  bertanya kabar dengan pertolongan jurubahasa yang sentiasa bersama-sama kami, Osman dan Shahid.

Kebanyakan yang kami temui  adalah pendatang atau pelarian  yang baru sampai yang sedang beratur menunggu giliran untuk ditempatkan di dalam kem-kem yang ada. Ada yang sudah menunggu sehingga dua atau tiga hari, ada yang makan dan ramai yang belum, dengan ibubapa yang telah tua, ramai wanita atau muslimat yang mengandung tanpa kehadiran suami kerana ada yang dibunuh dan ada yang masih di Arakan dan anak-anak yang masih kecil tanpa ibu dan ayah. Saya sempat juga mendukung bayi yang baru lahir. Sedih memikirkan nasib mereka tetapi rasa kagum dengan setengah-setengah wanita-wanita, muslimat Rohingya yang masih lagi dapat menjaga maruah dan aurat mereka. Duit-duit yang kami bawa hanya boleh diberi secara sembunyi-sembunyi kerana terlalu ramai  yang meminta tidak kira tua, muda atau kanak-kanak. Pegang saja  poket pasti kita akan diekori dan dikerumuni. Tiada rasa segan dan silu lagi apabila hidup terumbang-ambing, tiada tempat dan haluan untuk dituju, dibunuh , dibakar, rumah-rumah dibakar dan dirampas, wanita-wanita diperkosa dan  dihalau daripada negeri sendiri.

Hampir 66% daripada penghuni kem-kem ini terdiri daripada kanak-kanak yang tidak pernah mengenal erti sekolah apatah lagi peluang untuk belajar, menulis dan membaca kerana mereka dinafikan hak dan  kerakyatan mereka di tanah kelahiran mereka sendiri, Arakan oleh regim Myanmar yang zalim dan penuh kebencian terhadap bangsa Rohingya. Hanya semata-mata kerana etnik Rohingya  beragama Islam.

Betapa sedih dan hibanya melihat penderitaan saudara-saudara Rohingya. Tetapi bagi sesiapa yang berhadapan dengan mereka, kami yang ada dihadapan mereka perlu tabahkan hati. Senyum dalam sedih, tawa dalam tangis. Hanya Allah  yang tahu.

Pada 16 November, hari terakhir kami di sini seperti biasa bertolak pukul 8.00 pagi ke kem penempatan di  Balukhali sebuah kem yang terbesar dan kebanyakan saudara-saudara Rohingya  kita telah lama berada di sini, kami  melawat sekolah-sekolah, tubewell, masjid atau musolla, rumah kediaman yang dibina berdindingkan plastik hitam dan buluh yang telah siap dibina oleh PASRelief Malaysia semasa kunjungan misi baru-baru ini.

Dengan menaiki bukit, turun bukit, kami sampai untuk satu program Perasmian Masjid PASRelief Malaysia dan sungguh teruja bila kami disambut dengan saudara-saudara Rohingya kita yang beratur dengan bunga mangga Rohingya untuk diberikan kepada kami semua, ahli rombongan PASRelief. Program dimulakan dengan ucapan perasmian yang penuh semangat oleh Pengarah PASRelief Malaysia, Haji Sanusi dan  disudahi dengan muslimin solat berjamaah.  Bagi muslimat, kami berkesempatan bersalam-salaman dengan muslimat Rohingya yang sama-sama menunggu  ketibaan rombongan PASRelief dan sempat masuk ke dalam khemah perlindungan muslimat sebelah masjid PASRelief yang penuh padat dengan muslimat Rohingya tetapi hanya sebentar saja. Allahu khemah hampir-hampir mahu runtuh bila ramai lagi muslimat diluar yang ingin masuk ke dalam dan ada yang masuk ikut bawah dinding-dinding plastik. Bagi saya ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Perjalanan diteruskan di hari terakhir kami di kem Balukhali untuk melihat sekolah yang dibina hasil sumbangan PASRelief Malaysia. Boleh tahan jugak menaiki dan menuruni bukit dengan jarak yang agak jauh… Alhamdulillah bagi kami yang umur hampir senja walaupun kepenatan  berjaya juga kami sampai di puncak bukit dengan diapit oleh kanak-kanak Rohingya, yang sedia ada untuk berbakti kepada ibu-ibu muslimat mereka. Sampai dan masuk ke dalam sekolah PASRelief,  kanak-kanak sedang menunggu untuk belajar disamping untuk menerima sedikit sumbangan pakaian yang kami bawa. Yang sangat mengembirakan saya, mereka begitu bersemangat dan tekun untuk belajar dan boleh membaca surah-surah dalam  Al-Quran dengan fasih dan lancar.

Semangat dan kesungguhan mereka menjadikan saya dan kawan-kawan yang lain bersemangat untuk menghabiskan tugas dan lawatan kami sehingga  dua hari kami berada di kem ini tidak berasa lapar, hanya berbekalkan air minuman sehinggalah sampai waktu petang  untuk kami berangkat pulang dari kem pelarian  ke tempat penginapan kami yang mengambil masa selama satu jam lebih, biasanya sampai sudah masuk maghrib.

Selamat tinggal saudara-saudaraku Rohingya! Doa kami sentiasa untukmu. Semoga tabah, sabar dan diberi keimanan yang tinggi dalam menempuhi segala ujian. Semoga Allah mengembalikan tanahair kamu!

Dan kepada sahabat2ku serta rakyat Malaysia yang disayangi! Kita patut bersyukur dan berbangga kerana kita masih lagi mempunyai tanahair dan rumah serta  keluarga di negara Malaysia yang kita cintai. Jagalah ianya dan teruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia yang kita cintai!

(Catatan Ketua DMPNT,Hajah Zarani Othman)