Home Berita PAS Perlis

Minyak motor percuma inisiatif bantu rakyat

92
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 20 Sept: Program Jom Isi Minyak Motor Percuma yang berlangsung semalam merupakan satu lagi inisiatif Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) ke arah membantu meringankan beban rakyat.

Demikian dinyatakan ketua pemudanya Ustaz Muhammad Azmir Azizan ketika ditemui di lokasi program berkenaan di sini.

Jelasnya, DPPNPs amat memahami kesan pandemik Covid-19 ke atas rakyat khasnya golongan yang kurang berkemampuan.

“Maka di pihak DPPNPs, kami berasa terpanggil untuk mempelbagaikan program berbentuk kebajikan bagi membantu mengurangkan beban mereka pada ketika ini.

“Jadi, Program Jom Isi Minyak Motor percuma yang berlangsung serentak di tiga kawasan parlimen di negeri ini hari ini (semalam) merupakan salah satu daripadanya,” katanya.

Program yang diadakan dengan kerjasama ARC Perlis dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis itu mendapat sambutan yang cukup baik dengan orang ramai dilihat berbaris menunggu giliran bagi mendapatkan petrol percuma sebaik sahaja program dilancarkan.

Tiga lokasi telah dipilih iaitu di surau Haji Salleh (Arau), Stesen Minyak Shell Seriab (Kangar) dan Caltex Guar Nangka (Padang Besar).

Menurut Muhammad Azmir lagi, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak 150 buah motosikal tanpa mengira kapasiti enjin untuk diberikan isian minyak petrol secara penuh dan percuma.

“Mudah-mudahan dengan bantuan yang sedikit ini dapat mengurangkan beban masyarakat dan InsyaAllah kami akan teruskan lagi program ini pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Turut sama turun padang menjayakan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim dan Timbalan 2 ARC Perlis, Mohd Azizi Syam Samsudin.