Home Minda Presiden

Minda Presiden PAS: Politik Warisan Para Anbia

906 views
SHARE

Minda Presiden PAS
POLITIK WARISAN PARA ANBIA

Sabda Rasulullah S.A.W:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ (صحيح البخاري 4/ 169)

“Kaum Bani Israel pada zaman dahulu pemimpin siasah (politik) mereka ialah para Anbia. Setiap nabi wafat digantikan nabi selepasnya. Tidak ada lagi nabi selepasku (Muhammad S.A.W). Namun adanya para khalifah (pemimpin di kalangan umatku). Jumlah mereka ramai. Mereka (para sahabat) bertanya: Maka apakah perintahmu kepada kami (yang wajib kami lakukan?) Sabdanya: Tunaikan yang pertama dilakukan bai’ah dan yang berikutnya. Berikan hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. (Sebenarnya) Allah akan menyoal mereka (di Hari Kiamat nanti) daripada apa sahaja kewajipan yang diwajibkan supaya mereka menunaikannya).” (Sahih Al-Bukhari)

Hadis ini menafsirkan bahawa kewajipan khalifah yang bermaksud siasah (politik) adalah satu daripada tujuan manusia diciptakan oleh Allah dan kewajipan itu dimaterikan dengan baiah. Ditegaskan dalam firman Allah S.W.T:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً  قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ  قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ [البقرة: 30]

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan melakukan kejahatan dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya”.” (Surah Al-Baqarah: 30)

Inilah di antara peranan makhluk manusia dengan sifat fitrahnya boleh menunaikan kewajipan itu, kerana asal kejadiannya mempunyai jasad, roh, akal, bersendirian dan bermasyarakat. Ciri-ciri ini tidak ada pada makhluk lain, walaupun para malaikat yang paling mentaati Allah dan bersih daripada maksiat.

Apa yang dimaksudkan dengan khalifah itu adalah memimpin dan mentadbir iaitu daripada perkataan ‘siasah’ dalam Bahasa Arab dan maknanya ‘politik’ dalam bahasa yang lain. Mengikut istilah Islam, khalifah adalah siasah atau politik mentadbir urusan dunia dengan Islam.

Al-Quran memaparkan cerita benar, bahawa semua para rasul berdakwah dan berpolitik menghadapi rakyat dan kerajaan pada zaman masing-masing. Para rasul itu juga mengumpulkan pengikut bagi membentuk jamaahnya yang diikat dengan bai’ah kepada kumpulan yang berjuang bersamanya supaya rakyat menerima Islam dan meminta kerajaan memerintah dengan syariat Allah (Islam) di zaman masing-masing.

Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Musa A.S dan lain-lain berdakwah, mengumpul rakyat dan berdepan dengan para pemimpin di zamannya supaya beriman kepada Allah sahaja dan menolak syirik dalam ibadat serta beramal dengan syariat Allah dalam urusan kehidupannya.

Nabi Daud A.S menjadi khalifah dan Nabi Sulaiman A.S pula menjadi raja yang memerintah dengan beriman kepada Allah dan beramal dengan syariatnya.

Firman Allah S.W.T menceritakan kisah Nabi Isa A.S:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ  قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ  فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ  فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ [الصف: 14]

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu para penolong agama Allah (Islam), laksana peristiwa apabila Isa bin Maryam berkata kepada Hawariyyin (para sahabatnya yang setia): “Siapakah yang bersedia menjadi penolongku dalam menegakkan agama Allah?” Berkatalah Hawariyyun: “Kamilah para penolong agama Allah”. Maka sebahagian daripada kalangan Bani Israel beriman dan sebahagiannya pula kufur (menentang). Lalu (akhirnya) kami memberi pertolongan kepada mereka yang beriman sehingga mereka mencapai kemenangan mengatasi musuh mereka”. (Surah As-Saff: 14)

Maka Rasulullah S.A.W, Nabi akhir zaman yang menerima Al-Quran secara wahyu melaksanakan dakwah bersama politik memerintah negara bermasyarakat madani dan majmuk, mengumpulkan para pengikut yang setia dengan ikatan perjanjian melakukan bai’ah dan melaksanakan Al-Quran itu bagi urusan politik dengan sempurna, serta melaksanakan hukum akal dan pengalaman yang diizinkan oleh Allah mengikut kemampuan manusia berdasarkan akidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dan berkonsepkan ibadah.

Semuanya ada perhitungan dosa dan pahala, sehinggalah dinyatakan fadilatnya yang pertama di Hari Kiamat nanti, mengikut sabda Rasulullah S.A.W:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إلاَّ ظِلُّهُ: إمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأ في عِبَادَةِ الله – عز وجل – وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابّا في اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيهِ وتَفَرَّقَا عَلَيهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأةٌ ذَاتُ حُسْنٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إنِّي أخَافُ الله، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ، فَأخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ الله خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ. مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

“Tujuh jenis orang yang dipayungi Allah pada Hari (Kiamat) yang tidak ada tempat bernaung melainkan naungan Allah: 1) Pemimpin  yang adil, 2) Pemuda yang hatinya bergantung ingatan kepada beribadah kepada Allah, 3) Orang yang hatinya sentiasa bergantung di Masjid, 4) Dua orang yang bersahabat dengan rasa kasih sayang yang ikhlas, kalau berjumpa kerana Allah dan berpisahnya juga kerana Allah, 5) Seorang yang diminta oleh perempuan cantik rupawan (supaya melakukan maksiat) lalu dia menolak dengan katanya: “Aku takutkan Allah”, 6) Seorang yang bersedekah secara sembunyi, di mana sifat pemurahnya laksana apa yang dihulur oleh tangan kanannya tidak diketahui oleh tangan kirinya dan 7) Orang yang berzikir (menyebut Allah dengan khusyu’) sehingga berlinangan air matanya” (Muttafaqun ‘Alaih)

Allah meletakkan politik memimpin negara di tempat pertama dan politik juga menjadi lapangan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yang diletakkan senarainya dalam perkara pertama untuk mempertahankan jati diri umat Islam, sama ada berkuasa memerintah dan dapat melaksanakan syariat Allah yang Maha Adil atau tidak memerintah yang hanya sekadar menjadi penasihat kepada pemerintah supaya berlaku adil.

Firman Allah:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ  يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ  أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ  إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ [التوبة: 71]

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah: 71)

Allah juga menegaskan wajibnya diadakan kumpulan dalam kalangan orang-orang yang beriman yang melaksanakan kewajipan tersebut. Firman-Nya:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ  وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ [آل عمران: 104]

“Hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah (jamaah) yang berdakwah kepada kebajikan (Islam yang sempurna), menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan (yang sebenarnya).” (Surah Ali-Imran: 104)

Kemuncak bagi melaksanakan kewajipan tersebut adalah mewajibkan adanya negara yang diperintah oleh Islam yang dinamakan politik. Kewajipan ini termasuk dalam perjuangan para anbia A.S sama ada mengajak pemimpin negara di zamannya supaya menerima Islam atau rasul itu sendiri bersama para pengikutnya menukar kerajaan yang menjadikan Islam itu memerintah.

Umat Islam pada zaman kini yang menyambung urusan Islam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, hendaklah sedar bahawa betapa banyaknya hukum Islam yang disebut di dalam Al-Quran, Hadis Nabi S.A.W dan ijtihad para ulama khususnya yang berkait dengan kehidupan bermasyakat, dengan mensyaratkan wajib berpolitik dan ditegakkan negara yang mendaulatkan Islam itu sehingga berkuasa memerintah. Sama ada hukum yang telah dinaskan dan hukum Islam yang tidak ada nas, namun Islam wajib dijadikan dasar dan petunjuk.

Para ulama menegaskan kata-kata Khalifah Uthman bin Affan R.A:

إن الله يزع بالسلطان مالا يزع بالقرآن

“Sesungguhnya Allah menjadikan kuasa pemerintah (politik dapat menyelesaikan masalah manusia) apa yang tidak boleh diselesaikan melalui nas Al-Quran (yang dibaca sahaja)”

Hari ini terdapat kalangan manusia yang tidak ambil peduli. Mereka hanya sekadar mendengar perintah Al-Quran supaya melakukan kebaikan atau mencegah kemungkaran, sehinggalah mereka boleh ditundukkan dengan tindakan kerajaan yang memerintahnya. Selain itu juga, adanya perkara yang diserahkan kepada kebijaksanaan pemimpin kerajaan apabila tidak ada nas daripada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Kewajipan menegakkan kerajaan yang beramal dengan syariat Allah menjadi ijma’ ulama para sahabat generasi awal umat dan tabi’en di sepanjang zaman. Kewajipan ini disebut dalam kitab-kitab tafsir, hadis dan feqah yang muktabar.

Adapun kata-kata yang menyatakan politik tidak ada dalam ajaran Islam, sebabnya dipengaruhi oleh ajaran sesat yang berasal daripada penyelewengan penjajah yang berlaku dalam agama Nasrani (Kristian), sebagaimana disebut dalam Injil Mark:

“Render to Caesar the things that are Caesar’s and to God the things that are God’s” (Huraiannya dalam Injil Mark 12; 13-17) 

“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia) dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan”

Kata-kata ini bermakna Allah tidak ada ilmu dalam urusan dunia yang diciptanya dan manusia itu lebih tahu daripada Allah dalam masalah dunia seperti urusan politik.

Penjajah telah menyebarkan kefahaman ini ke dalam masyarakat Islam sehingga ramai yang terpengaruh, sama ada dalam kalangan masyarakat umum yang buta Al-Quran atau yang mempelajari Islam tetapi hanya sebahagian kecil untuk urusan ibadat dan keluarga sahaja. Tujuan penjajah ini supaya umat Islam menyerah diri kepada kerajaan mereka atau mendukung para pemimpin kalangan umat Islam yang terpengaruh dengannya.

Maka berlakulah apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W:

لينقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تثبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة (المسند إمام أحمد بن حنبل)

“Demi sesungguhnya akan dirungkai ikatan ajaran Islam yang kukuh, satu demi satu. Setiap satu simpulan itu dirungkai, nescaya manusia berselerak dan terpaksa berpegang kepada simpulan yang masih ada berikutnya. Perkara pertama dirungkai ialah hukum hakam dan yang terakhir ialah solat” (Musnad Imam Ahmad bin Hanbal)

Para ulama dan cendekiawan Muslim di seluruh tanah air umat Islam menubuhkan jamaah atau parti Islam bagi menunaikan kewajipan menyatakan Islam yang sempurna dan menghidupkan ilmunya. Sama ada menentang penjajah di zaman mereka berkuasa menakluk umat Islam atau selepas kemerdekaan bagi menghadapi pihak yang berkuasa yang mewarisi ajaran penjajah itu.

Inilah tujuan ditubuhkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun 1951 oleh para ulama dan ilmuan yang berpendidikan barat yang menyedari hakikat ini, setelah diharamkan kumpulan Islam sebelumnya oleh penjajah.

PAS ditubuhkan bagi menyambung perjuangan para anbia yang tidak tamat dengan kewafatan Rasulullah S.A.W, menunaikan kewajipan beramal dengan Islam semuanya, dan menyahut perintah Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ  إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ [البقرة: 208]

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah: 208)

Politik menegakkan negara yang mendaulatkan Islam adalah syarat wajib untuk dilaksanakan semua syariatnya bagi mencapai rahmat dan adil Allah.

Tidak beramal dengan Islam atau beramal dengan sebahagian sahaja seperti perkara yang berkait dengan diri masing-masing dalam urusan ibadat dan keluarga sahaja atau tidak mempedulikan hukum Islam dalam urusan bermasyarakat, politik, ekonomi dan lain-lain, adalah langkah syaitan yang telah dilihat keburukannya di dunia sebelum tiba Hari Akhirat.

Semua kalangan yang mahu mengheret PAS keluar daripada landasannya tersungkur dalam perjalanan. Hanya mereka yang terus beristiqamah sahaja bersama sehingga akhir hayatnya.

 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Jamadil Akhir 1439 / 19 Februari 2018