Minda Presiden PAS
ISLAM TANGANI RASUAH
Firman Allah:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨ البقرة
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada kalangan yang mengendalikan hukuman (pemerintah, pentadbir, hakim dan sebagainya), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui” (Surah Al-Baqarah: 188)
Hadis Rasulullah S.A.W.
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم الرَّاشي والمُرْتَشيَ” رَوَاهُ أَبُو داوُدَ وَالتِّرْمذيُّ وَصَحّحَهُ
“Rasulullah S.A.W telah melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Al-Quran petunjuk sepanjang zaman telah menyebut sejak lima abad yang lalu, betapa penyakit rasuah berlaku dahulu kala di kalangan umat terdahulu dan berlaku sehingga kini.
Rasuah termasuk dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah terhadap semua yang terlibat, yang memberi rasuah dan menerima rasuah. Laknat bermaksud tidak mendapat Rahmat Allah daripada dunia sehingga celaka dan neraka di akhirat kalau tidak bertaubat.
Wujudnya rasuah bersama syaitan yang merosakkan manusia dan kehidupannya dengan meniupkan perasaan ingin mendapatkan kesenangan semata-mata tanpa mempedulikan keburukan dan akibatnya yang menimpa diri dan masyarakat.
Islam meletakkan hukum bukan sahaja dalam undang-undang negara yang merangkumi semua urusan pentadbiran, kehakiman, ekonomi dan lain lain, bahkan menjadi sebahagian daripada perkara yang tidak berpisah dengan agama Islam yang sempurna.
Allah mendedahkan penyakit ini berlaku di kalangan semua peringkat, daripada setinggi jawatan sehingga serendahnya, termasuk agamawan sejak zaman dahulu, pelakunya menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Firman Allah:
۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَيَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ التوبة
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah At-Taubah: 34)
Firman Allah lagi:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ الأعراف
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176)” (Surah Al-Aaraf: 175-176)
Rasulullah S.A.W mendidik para sahabat secara langsung ketika memimpin negara supaya mengelakkan diri daripada rasuah. Contohnya apabila seorang sahabat R.A yang ditugaskan memungut hasil daripada salah satu wilayah Islam, secara ikhlas berkata: “Wahai Rasulullah! Ini adalah hasil pungutan yang telah ditugaskan dan ini pula diberi kepada saya”.
Apabila keluar memberi ucapan kepada umum, Rasulullah S.A.W bersabda tanpa menyebut namanya:
“Ada kalangan kamu yang ditugaskan, datang kepadaku memberitahu: “Bahawa ini hasil pungutan saya dan ini pula diberi kepada saya”. Adakah sekiranya dia berada di rumah ibunya dan ayahnya tanpa tugas atau jawatan itu akan diberi kepadanya?” Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya, harta seperti ini akan dibawa bersama, dipikulnya untuk dibicarakan pada Hari Kiamat nanti”.
Ini menunjukkan hadiah luar biasa diberikan oleh kalangan tertentu yang ada kepentingan adalah bertujuan rasuah atau pendahuluan, ia sangat mempengaruhi seseorang yang berjawatan dalam apa-apa urusan. Apatah lagi yang terang dan nyata kerana mempengaruhi sesuatu keputusan yang menyebabkan penyelewengan atau tidak berlaku adil.
Islam meletakkan bahawa jawatan seseorang itu ada perhitungan dosa dan pahala yang dikira pada Hari Kiamat nanti, yang menyebabkan seksa di dalam kuburnya di Alam Barzakh dan Padang Mahsyar, seterusnya dihumban ke dalam Neraka. Bukan sahaja tiada keberkatan yakni tidak mendatangkan kebaikan daripada hartanya kepada diri dan keluarga dalam kehidupan dunia.
Rasuah tidak tertebus dosanya dengan ibadat seperti haji dan umrah dan lain-lain, kerana melibatkan hak rakyat umum. Besarnya dosa rasuah kerana merosakkan seluruh kehidupan manusia, kerana merosakkan pentadbiran, pengurusan, kehakiman, membawa kesan negatif dalam kegiatan politik, ekonomi sehinggalah alam sekitar dan lain-lain. Ini disebabkan rasuah mempengaruhi segala keputusan dan kelulusan.
Saya disoal dalam ceramah di Universiti Nanyang beberapa tahun yang lalu. Kenapa tidak dimasukkan rasuah dalam kesalahan Hudud dan Qisas?
Jawapannya: Hudud berkait dengan hak Allah, Qisas pula berkait dengan hak manusia, walaupun kesalahannya semuanya jenayah berat. Qisas dan Hudud boleh diletakkan sempadannya. Adapun rasuah melibatkan hak Allah dan hak manusia, kesalahannya pula ada kecil dan ada besar tanpa sempadan, berkait pula dengan sebab penerima rasuah, pemberi rasuah dan sebab kerajaan sendiri yang memberi tugas dan sara hidup dalam kemampuan dan kedudukan yang berbeza yang wajib dilihat.
Maka Islam menetapkan hukuman Takzir yang luas dan anjal, daripada paling berat sehinggalah paling ringan mengikut penilaian yang adil oleh pihak yang berkenaan, sama ada kerajaan, badan kehakiman dan pihak penguatkuasaan, berkonsepkan hukuman Islam yang lebih bersifat mendidik masyarakat daripada menghukum semata-mata.
Kejayaan Islam di zaman kegemilangannya berjaya kerana melaksanakan hukum Islam yang mengandungi aspek lahiriah dan ruhaniah yang dikawal oleh prinsip iman dan konsep taqwa, berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang hanya mengandungi aspek lahiriah sahaja.
Seseorang yang dikawal oleh iman dan taqwanya tidak boleh mengatasi hukum Allah yang ditinggikan menjadi undang-undang negara, serta mereka percaya tidak terlepas daripada hukuman akhirat walaupun terlepas di dunia, kerana tidak boleh mengatasi undang-undang syariat walaupun pandai menipu.
Seorang wanita penjual susu ditegur oleh anak perempuannya supaya jangan menipu apabila mahu meletakkan air ke dalam susu yang hendak dijual. Lalu ibunya terus membatalkan hasratnya apabila puteri yang solehah itu menyebut bahawa Allah Maha Mangetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar walaupun Saidina Umar tidak tahu. Khalifah Umar R.A yang mengintip perbualan di waktu malam tersebut meminang anak gadis itu untuk puteranya, di mana zuriat yang soleh ini melahirkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal keadilannya.
Islam mengambil kira syarat Islam, iman dan akhlak bagi jawatan-jawatan penting, bukan sekadar syarat ilmu dan pengalaman dalam bidangnya sahaja. Selain itu, diikat pula pula dengan baiah apabila dilantik di jawatan yang penting, tidak cukup sekadar menjadi seorang Muslim dengan mengucap dua Kalimah Syahadah bagi penganut Islam. Kehakimannya pula mengambil kira peranan kerajaan yang mencukupi, sifat pelaku dan cara tindakan pihak penguatkuasa yang beradab dengan rukun dan syaratnya tanpa sewenang-wenangnya.
Adapun undang-undang ciptaan manusia tanpa iman, akhlak dan taqwa, boleh terlepas di dunia dan tidak percaya adanya hukuman di akhirat, serta ada kalangan yang meletakkan dirinya mengatasi undang-undang.
Negara Komunis yang paling keras hukuman sehingga menghukum mati terhadap kesalahan rasuah tanpa mengambil kira kesalahan kerajaan dan berbagai pihak seperti majikan yang memberi gaji yang tidak mencukupi kos sara hidup diri dan keluarga.
Kerajaan Liberal Kapitalis yang bergaji paling besar juga tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, kerana manusia yang tidak puas dengan harta yang banyak, tetap bernafsu mengambil dengan apa jua cara. Undang-undangnya pula ciptaan manusia, hukum Allah hanya ibadat sahaja yang tidak boleh diangkat menjadi undang-undang negara. Maka terciptalah manusia yang berlagak berkuasa mengatasi undang-undang ciptaan kepala dan tangannya sendiri.
Penyakit rasuah tidak mengira Islam dan bukan Islam, kerana semuanya dirasuk nafsu syaitan. Tetapi itulah pendekatan Islam yang disaksikan paling berkesan kerana gabungan jasad dan ruh.
PAS yang berusaha menghayati Islam berjaya menegakkan kerajaan yang bersih daripada rasuah di semua negeri yang diperintahnya khususnya Kelantan sehingga kini, kejatuhan kerajaannya bukan kerana rasuah.
PAS sentiasa membuka pintu sepanjang masa kepada semua pihak kalau ada terpandang berlakunya dosa besar ini untuk disiasat dan diambil tindakan.
PAS tidak melindungi dan mempertahankan sesiapa yang melakukan dosa ini dalam kerajaannya.
PAS membentuk ahlinya dengan ilmu Islam dan tarbiyah. Semua calon dipertanggungjawabkan dengan ikatan baiah setia kepada perintah dalam semua perkara yang tidak bercanggah dengan Islam termasuk ijtihad jamaah dalam perkara yang tidak ada nas. Semua yang berpenyakit atau berhasrat melakukannya tidak boleh bersama. Ada yang keluar lebih awal dan ada yang dikeluarkan.
PAS mengizinkan semua pihak untuk menyiasat kalau ada yang melakukan rasuah dalam kerajaannya mengikut cara yang adil tanpa fitnah semata-mata.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Rabiul Akhir 1439 / 27 Disember 2017