Home Berita PAS Terengganu

Minat dorong Iqmal Haikal jadi petani muda

145
SHARE

SETIU, 14 Julai – Minat yang mendalam terhadap bidang pertanian mendorong lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana, Muhammad Iqmal Haikal Ab Mueei untuk menjadi petani muda.

Biarpun baru berusia 19 tahun, Muhammad Iqmal Haikal nekad menjadi salah seorang peserta program tanaman ubi vitato secara berkelompok di Kampung Banggol di sini kerana yakin bidang pertanian menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman, dia tidak malu untuk belajar selok belok pertanian dengan peserta lain.

“Saya terlibat dengan aktiviti pertanian ini baru dua..tiga bulan lepas, sebelum ini saya kerja di sebuah kedai makan di Penarik, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai tersebut terpaksa ditutup.

“Apabila mula menanam ubi vitato ini dan lihat ianya mula membesar, menjadikan saya lebih bersemangat untuk serius dalam bidang pertanian, apatah lagi peserta lain tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada peserta termuda seperti saya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di ladang tanaman ubi vitato di Kampung Banggol.

Muhammad Iqmal Haikal merupakan salah seorang dari 70 peserta Program Tanaman Ubi Vitato secara berkelompok di atas tanah seluas 28 hektar itu.

Katanya, dia turut berdepan kesukaran pada awalnya bagi memastikan hasrat menjadi usahawan tani tercapai.

“Mula-mula nak tanam ubi nie susah juga terutamanya dari segi kewangan dan tenaga buruh, saya hanya tanam sendiri dan tidak ada pekerja, mujur emak dengan ayah datang tolong.

“Sekarang tanaman ubi vitato seluas satu ekar yang saya usahakan ini sudah berusia sebulan dan ia dijangka dapat dituai pada September nanti,” ujarnya yang turut mengeluarkan modal lebih dari RM1,000 hasil simpanan sendiri dan sumbangan bapa serta adik-beradiknya.

Menurut anak muda berjiwa cekal itu, walaupun bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini, dia tidak akan sesekali akan melupakan bidang pertanian yang menjadi fokus utamanya sekarang.