Home Berita PAS Terengganu

‘Mimpi’ Sambut Aidilfitri di rumah baharu tercapai

16
SHARE

Oleh : Mohd Syauqi Harun

KUALA TERENGGANU – Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu itu merupakan salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di kawasan Batu Buruk.

“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap.

“Semoga kediaman baharu ini menjadi tempat berteduh yang selesa dan penuh keberkatan buat beliau sekeluarga.

“Usaha ini melambangkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata sedemikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyerahan replika kunci rumah PPTS, sebentar tadi.

Ibu tunggal kepada seorang anak, Sakirah Mat Yunus, 43, dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Batu Buruk mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk meraikan Aidilfitri di kediaman sendiri akhirnya tercapai.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada YB Dr. Khalil dan semua pihak yang terlibat atas usaha untuk mendapatkan saya sebuah rumah untuk kami sekeluarga berteduh.

“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ini hanya dengan menumpang rumah ibu saya,” tambahnya.

Kata Sakirah lagi, pemberian itu juga amat bermakna baginya dalam menyediakan ruang yang lebih selesa untuk anaknya yang masih bersekolah.

“Selepas ini anak saya dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.