Oleh: Anna Abdul
21 Mac 2023
KOTA MARUDU: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kudat kali ke-10 telah berlangsung di sini kelmarin yang melibatkan ahli daripada tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas.
Menurut Yang di-Pertua PAS kawasan, Ahmad Kapok, selain menjadi medan muhasabah, mesyuarat kali ini memberi peluang kepada pimpinan dan ahli untuk berkongsi pendapat serta buah fikiran dalam membantu gerak kerja kawasan.
“Penglibatan semua ahli dalam setiap gerak kerja sangat diperlukan agar matlamat dan misi yang ingin dicapai dapat diusahakan semaksima mungkin.
“Dalam masa yang sama kebajikan setiap ahli tetap dijaga,” katanya ketika mesyuarat.
Dalam ucapan penangguhan, Timbalan Yang di-Pertua, Nemrone Loveh mengingatkan ahli berkaitan gerak kerja pilihan raya yang terdekat.
“Tahun ini kita akan memperkasa gerak kerja terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri.
“Diharapkan agar semua ahli dapat memainkan peranan di tempat masing-masing dan membantu di segenap sudut,” katanya
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan ahli dalam menjayakan setiap program yang diadakan.