Bandar Tun Razak, 11 Mei 2025 — Rumah terbuka Aidilfitri anjuran PAS Kawasan Bandar Tun Razak berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni, menyatukan pelbagai lapisan masyarakat serta pemimpin daripada pelbagai latar politik dalam suasana yang penuh mesra dan muhibah.
Majlis yang berlangsung secara terbuka ini menyaksikan kehadiran ratusan tetamu termasuk ahli dan penyokong PAS dari seluruh pelusuk kawasan, sekali gus membuktikan bahawa PAS Kawasan Bandar Tun Razak terus kekal relevan dan diterima baik oleh rakyat setempat.
Yang Dipertua PAS Kawasan Bandar Tun Razak, YBhg. Hj Md Shukor Aziz, dalam ucapannya, merakamkan rasa syukur atas kelancaran majlis dan mengucapkan terima kasih atas kehadiran pelbagai pihak yang memeriahkan acara tersebut.
Penyelaras Parlimen Bandar Tun Razak (PAS), Dr Rosni Adam menyifatkan sambutan luar biasa ini sebagai bukti penerimaan rakyat terhadap PAS di kawasan tersebut, sekaligus menunjukkan kesan positif pendekatan mesra rakyat yang diamalkan PAS.
Antara tokoh utama yang turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, yang hadir bersama barisan kepimpinan PAS Wilayah. Kehadiran beliau telah menyuntik semangat perjuangan kepada jentera dan penyokong akar umbi untuk terus komited memperkukuh gerak kerja parti di peringkat kawasan.
Menyerlahkan lagi semangat perpaduan, rombongan BERSATU Bahagian Bandar Tun Razak yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Kamarudin Jaffar turut hadir, sekali gus menzahirkan keutuhan kerjasama di antara parti komponen Perikatan Nasional dalam mendepani cabaran politik semasa.
Menarik perhatian ramai, kehadiran rombongan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang diketuai oleh YBhg. Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar turut menyerikan majlis. Ia memberi isyarat jelas bahawa semangat muafakat dan politik matang kini semakin mengakar demi kepentingan rakyat Bandar Tun Razak.
Beberapa penganalisis politik yang hadir turut menyifatkan kehadiran pelbagai pihak ini sebagai simbol kematangan politik baharu, yang meletakkan kepentingan rakyat dan perpaduan sebagai asas utama dalam membina negara yang lebih sejahtera.
Rumah terbuka ini menjadi bukti nyata bahawa PAS bukan sahaja konsisten dalam mendekati rakyat, malah terus menunjukkan keterbukaan dalam menjalin hubungan baik merentasi perbezaan politik demi menjayakan agenda penyatuan ummah dan keharmonian masyarakat.