Home Pedoman Haraki

Merdeka Tanah, Minda Terjajah

747
SHARE

Kolonialisme Eropah

Era penjajahan bermula pada abad ke-16, bukan semata-mata membawa misi ekonomi tetapi kerana dendam agama akibat kekalahan Byzantine kepada Uthmaniah pada 1453M. Mereka juga merupakan kaum yang tidak bertamadun dan tidak beretika dalam persaingan perang mahupun politik demokrasi.

Mengungkap ciri-ciri penjajah di dalam Al-Quran, Allah berfirman;

Dia berkata, “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan hina penduduknya yang mulia; demikianlah mereka perbuat.” (An-Naml: 34)

Pembukaan Wilayah Islam

Cenderung Berdamai Semampu Mungkin

Sabda Nabi SAW ketika hari Pembukaan Kota Makkah,

“Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan maka dia selamat. Dan sesiapa yang meletakkan senjatanya dia selamat, dan sesiapa mengunci pintu rumahnya maka dia selamat.” (HR Muslim)

Menyambut Kemenangan Dengan Istighfar

Umat Islam diajar apabila menang dan berjaya membuka kota supaya bertasbih dan istighfar. Mengakui dosa-dosa mereka dan merendah diri kepada Allah yang mengizinkan kemenangan.

Perintah Allah dalam AlQuran,

“Masukilah pintu gerbangnya sambil bersujud, dan katakanlah, “Bebaskanlah kami dari dosa,” nescaya Kami ampuni kesalahan-kesalahan kalian. Dan kelak Kami akan menambah (pemberian Kami) kepada orang-orang yang berbuat baik.” Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah tadi dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu Kami timpakan atas orang-orang yang zalim itu seksa dari langit, kerana kefasikan yang mereka lakukan.” (Al-Baqarah: 58-59)

Tetapi mereka mengingkari arahan Allah, akibatnya Allah membalas penguasa zalim yang mengubah kalimah istighfar (hitthah) kepada slogan yang menunjukkan kerakusan terhadap ekonomi negara (hinthah/habbah) dengan balasan azab.

Disebutkan dalam suatu riwayat, ketika Nabi SAW berhasil memperoleh kemenangan atas kota Mekah, baginda memasukinya dari arah yang tertinggi; sedangkan baginda nampak penuh dengan rasa rendah diri kepada Tuhannya, sehingga disebutkan bahawa janggut baginda benar-benar menyentuh pelana bahagian depannya sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan tersebut. Kemudian ketika memasuki kota Mekah, baginda mandi (dan wudhu’), lalu solat lapan rakaat. Maka sebagian ulama mengatakan bahawa solat tersebut adalah solat kemenangan. Sebahagian yang lain berpendapat itu merupakan solat dhuha.

Dasar Imperialisme Baru

Perluasan kuasa Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun bermula akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Hampir seluruh Afrika dan sebahagian Asia dijajah. Penjajahan yang bukan hanya merosakkan tanah dan mengeksploitasi hasil bumi, bahkan “penduduk yang asalnya mulia dijadikan hina.”
Rasa inferior merantai jiwa anak watan dan mengikis maruah mereka akibat meninggalkan kesyumulan Islam. Menggunakan pelbagai senjata ideologi, penjajah memahat mentaliti “meniru jejak Barat/Penjajah merupakan kunci kejayaan.”

Berlaku penjajahan pemikiran, budaya, dan sistem hapir 450 tahun hingga umat Islam mengalami krisis identiti.

Muslim yang Jahil & Jasa Aktivis Gerakan Islam

Menuju kemerdekaan, British menubuhkan suruhanjaya yang dipengerusikan oleh William Reid bagi merangka Perlembagaan Persekutuan.

Menurut sejarawan, pada awalnya agama Islam tidak diletakkan dalam perlembagaan, walaupun Suruhanjaya Reid turut dianggotai dua orang muslim;

1. Hakim Malik dari India
2. Hakim Halim Abdul Hamid dari Pakistan

Mereka merupakan hakim yang berfikiran Barat, serta tidak memiliki fikrah islamiyah. Menyebabkan perlembagaan digubal mengikut acuan British.

Kemudian berlaku desakan dari PAS dan Ngo-ngo Islam lain yang mahukan Islam diberi kedudukan tersendiri di dalam Perlembagaan. Sepertimana yang berlaku dalam Perjanjian Pangkor dan perjanjian-perjanjian lain antara British dan Raja-raja. Meletakkan Raja berkuasa dalam urusan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Dekolonisasi

Setelah kemerdekaan dicapai, bukan sahaja penjajah sepatutnya meninggalkan tanah air kita, tetapi kita mesti memerdekakan diri dari segala ideologi dan pemikiran penjajah. Islam yang asalnya ditafsir sebagai ‘religion’ dalam Perlembagaan mesti ditafsir semula oleh kita sebagai Ad-Din: Keseluruhan sistem kehidupan mesti mengikut Sistem Islam, bukan sekadar dogma dan perkara ritual.

Bersama Gerakan Islam

Memahami tanggungjawab dakwah dan jihad dalam kerangka demokrasi hari ini, PAS sebagai gerakan Islam di Malaysia telah menyertai Pilihanraya semenjak Pra Merdeka 1955.

Tuan guru Yb PAS, “Encik Pembangkang”.

Satu kerusi telah dimenangi ketika itu dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin memenangi kerusi Krian, Perak dan berjuang sendirian di Parlimen. Usaha dan keteguhan prinsip generasi terdahulu wajar dijadikan iktibar oleh kita pada hari ini. Berlayar sampai ke pulau. Pasang surut perjuangan gerakan Islam dahulu, turut akan dirasai generasi hari ini. Setiap ujian luaran dan dalaman perlu ditanggung penuh sabar dan cekal.

Genggam bara api biar sampai jadi arang. Sakit yang dirasai, jangan menyebabkan kita berpatah balik mundur ke belakang.

Sofia Alwani Ali
31 Ogos 2017.