Home Berita PAS Terengganu

Menteri, timbalan sumbang tiga bulan gaji

154
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan memutuskan gaji kesemua menteri dan timbalan menteri selama tiga bulan tidak akan diambil sebagai tanda sokongan kepada Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diumumkan, semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin berkata, sepertimana yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

“Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, keputusan untuk melaksanakan lockdown ini adalah satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat.

“Samada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya atau tidak semuanya terserah kepada saudara dan saudari serta ketentuan Ilahi,” katanya ketika berucap dalam pengumuman PEMERKASA+, malam tadi.

Jelasnya, kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, keputusan tersebut turut disokong ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya semalam, beliau menyokong sepenuhnya tindakan itu digunakan untuk kebaikan dan kebajikan rakyat yang memerlukan.

“Keutamaan kita adalah bagi memastikan supaya sektor kesihatan dapat berfungsi dengan penuh efisien, meneruskan agenda kebajikan rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaan.

Semoga inisiatif yang diumumkan ini akan dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi rakyat semasa kita berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal wabak pandemik COVID-19,” katanya.