MARANG – Pihak keluarga Ahli Parlimen Marang yang Juga Presiden PAS meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang disifatkan tidak menghormati privasi pesakit dan keluarga semasa lawatan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Menurut wakil keluarga, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, lawatan tersebut bukan sahaja melanggar tatacara dan SOP hospital, malah gambar-gambar lawatan yang dimuat naik ke media sosial Menteri Kesihatan juga dianggap tidak wajar serta mencabuli etika privasi perubatan.
“Kami menyatakan rasa kecewa dengan sikap YB Menteri Kesihatan yang tidak menghormati privasi keluarga dan SOP lawatan di hospital, ketika melawat Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) di wad CCU, IJN.
“Malah penyebaran gambar Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) yang dimuat naik di Facebook YB Menteri untuk tatapan awam amatlah tidak wajar dan sangat tidak beretika,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan tersebut menurut beliau bukan sahaja tidak profesional, malah mengecewakan.
“Sikap tidak profesional ini sangat dikesali,” tambahnya.
Setakat ini, tiada sebarang penjelasan rasmi atau permohonan maaf dikeluarkan oleh pihak Menteri Kesihatan berhubung isu berkenaan.
Terdahulu Facebook rasmi Dr. Dzulkefly memuatnaik gambar Abdul Hadi yang selesai menerima rawatan di IJN.
Abdul Hadi Awang kini masih dalam pemantauan rapi di CCU, IJN dan keluarga memohon semua pihak terus mendoakan kesembuhan serta menghormati ruang privasi beliau sepanjang tempoh rawatan.