Home Berita PAS Pahang

Menteri KPKT dangkal dalam memahami sensitiviti masyarakat Melayu

186
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 27 Jan –  Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Meng, diseru agar menghormati, menjaga kepentingan dan sensitiviti masyarakat majoriti berkait dengan isu penjualan arak.

Ahli Dewan (ADN) Beserah YB Dato’ Andansura Rabu, dalam kenyataannya kepada media hari ini, menteri KPKT jelas menunjukkan kedangkalan beliau dalam memahami sensitiviti masyarakat Melayu dan umat Islam.

“Mempertahankan penjualan arak dengan alasan perpaduan dan masyarakat majmuk adalah alasan yang cetek dan tidak tepat kerana akan menimbulkan ketegangan dalam kalangan penduduk setempat.

“Bagaimana mungkin perpaduan dapat diwujudkan jika sesuatu perkara yang ditolak oleh majoriti dalam satu kawasan tetap dipaksakan?.

“Jika masyarakat Melayu Islam di kawasan tersebut menolak arak, memaksakan penjualannya hanya akan menimbulkan ketegangan, bukan perpaduan. Ini menunjukkan kegagalan menteri memahami kepercayaan dan kepentingan masyarakat majoriti,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa tindakan ini menggambarkan kelemahan parti-parti dalam kerajaan, termasuk Parti Amanah Negara (PAN) dan UMNO, dalam mempertahankan kepentingan majoriti Melayu Islam.

“PAN, yang kononnya mewakili kepentingan Melayu-Islam, ternyata gagal mengawal DAP dan Menteri KPKT, manakala UMNO pula, yang berakar dalam masyarakat Melayu, juga tidak mampu memperjuangkan perkara asas, iaitu menolak sesuatu yang haram di sisi agama,” tegasnya.

Andansura Rabu turut menekankan bahawa menolak keperluan dan sensitiviti majoriti pasti akan membawa kesan yang besar, yang akan merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat dalam negara.