Home Berita PAS Perak

Menteri Besar Rai Pemenang Tilawah Online Sempena PKP

1137
SHARE

 

IPOH, 16 Jun 2020 – Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, YB Mohd Akmal Kamarudin berbesar hati mengumumkan pemenang dan menyampaikan Sijil Penghargaan Ujian Tilawah Al-Quran Dalam Rakaman Video Peringkat Negeri Perak hari ini.

Bagi johan pertandingan tersebut kategori 15 – 21 tahun lelaki, Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid, pertandingan yang julung kalinya diadakan secara atas talian ini perlu diteruskan bagi mencungkil dan mengasah bakat qari dan qariah di negeri ini.

“Ramai yang menyertai pertandingan ni, rata-ratanya pelajar. Semoga program ini menjadi platform bagi mereka yang berbakat untuk mengasah bakat bacaan mereka” – Jelasnya.

Beliau membawa pulang hadiah berupa tunai bernilai RM2,000 manakala bagi Naib Johan, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan pemenang tempat ketiga Muhammad Azhad Asfa Alang Hashim, masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000.

Sementara itu, johan untuk kategori sama bagi qariah, Nurul Syafiqah Nardi, beliau berpendapat program seperti ini memberi dorongan kepada qari dan qariah khususnya di Negeri Perak untuk bergiat lebih aktif.

“Saya teringin nak melibatkan diri dalam program seperti ini dan masa PKP ni, tiada program sebegini dijalankan. Namun, Kerajaan Negeri Perak mengambil inisiatif dengan mengadakan program ini secara atas talian” tambahnya.

 

 

Johan Qariah turut membawa pulang hadiah berupa tunai bernilai RM2,000. Manakala Naib Johan, Nur Syabila Mohamad Fairos dan pemenang tempat ketiga, Umairah Muhamad Yusri membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 masing-masing.

Ujian Tilawah Al-Quran Dalam Rakaman Video Peringkat Negeri Perak diadakan buat julung kalinya dengan kerjasama Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) pada 12 hingga 18 Mei lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan yang melibatkan sebanyak 49 penyertaan qari dan 21 penyertaan qariah dalam Negeri Perak.