Home Berita PAS Terengganu

Mentega Terbang Ancaman Sebenar Keharmonian Negara

514
SHARE

Pemuda PAS Terengganu meneliti banyak berita berkenaan sebuah filem yang bertajuk “Mentega Terbang”yang sedang tular minggu ini.

Filem yang memaparkan kisah seorang wanita remaja muslim yang ingin mendalami kitab-kitab suci agama lain dalam mencari jawapan pada beberapa persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemikirannya.

Sisi gelap filem ini yang mempromosikan sekularisme dan liberalisme dalam agama seolah ianya suatu yang biasa dan wajar dibuat dengan alasan kajian atau terasa serasi dengan agama lain tanpa sebarang rasa bersalah. Unsur ini ditanam dengan jelas melalui beberapa dialog dalam filem ini.

Islam sebagai agama fitrah perlulah difahami dengan dalil-dalil dan perbincangan yang mengambil sudut ilmu pengetahuan sebagai cara memahami beberapa persoalan dalam kehidupan. Seharusnya seorang muslim mesti mengutamakan kajian pada dalil-dalil Islam sebagai penyelesaian kepada sebarang masalah. Jika tidak tahu hendaklah bertanya, bukan mengkaji tanpa guru yang akhirnya menyesatkan diri sendiri.

Kita juga sangat pelik bagaimana filem seperti ini boleh diluluskan tanyangannya ke seluruh pelusuk negara seolah-olah tiada sebarang tapisan atau sekatan dari pihak berwajib. Ianya seperti sebuah provokasi yang sengaja dilepaskan untuk “test market” pandangan majmuk rakyat Malaysia.

Dengan sajian program hiburan melampau tanpa henti di seluruh negara melibatkan artis-artis luar negara, kini filem yang seperti ini pula menjengah industri hiburan negara. Pemahaman liberalisme agama ini lebih teruk dari unsur ekstrimisme kerana ia akan mengancam akidah seluruh umat Islam di Malaysia bukan sekadar keharmonian masyarakat sahaja.

Pemuda PAS Terengganu juga mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan hari ini untuk mewujudkan lembaga penyemak syariah kepada industri hiburan selaras dengan semangat Malaysia Madani yang dibawa oleh PMX. Semoga perkara seperti ini tidak berulang lagi di lain masa.

Demi Akidah kita Bangkit Bersama

Mohd Harun Esa
Ketua Pemuda PAS Terengganu