Home Berita PAS Sabah

Meninggalkan Pengomen Buta Hati, Satu Kesenian dari Seribu Sunnah Dakwah

19
SHARE

Dunia letupan maklumat tanpa sempadan, membuka medan manusia mengambil peranan melihat, menilai dan memberikan respon mengikuti kapasiti kognitif dan perwatakan masing-masing, walaupun di mana berada.

Ada yang memberikan pandangan yang baik pada sesuatu hal ada yang sebaliknya, ia bergantung kepada isu yang dipaparkan mahupun intepretasi yang disuarakan. Disalurkan wasilah pelbagai medan sosial (medsos) yang semakin berperanan luas.

Dalam era dakwah Baginda SAW, kritikan juga tidak terlepas walaupun Baginda SAW adalah Rasul utusan Allah. Bezanya segala kritikan ini bersifat tentangan dan berniat jahat dek kerana dasarnya bertentangan dengan seruan agama Allah. Allah menggelarkan mereka sebagai musuh Allah dan Rasul akibat suara yang mereka gemburkan membawa kepada kekafiran dan kekufuran, bukan pandangan yang diredhai.

Contoh jelas apabila Nabi SAW menunaikan solat di depan Kaabah. Ketika Nabi sedang khusyuk datanglah Abu Jahal, pemuka Quraisy mencela dan memaki Nabi SAW, dengan berkata sembahan Nabi salah kerana tidak menyembah patung berhala.

Rasulullah tanpa membatalkan ibadah dan meneruskan dengan tenang sehinggalah selesai. Setelah itu, Allah menurunkan Al Quran menasihati Nabi SAW untuk tidak melayan karenah biadab Abu Jahal dan Baginda beransur pergi tanpa membalas sepatah pun celaan Abu Jahal. Firman Allah SAW :

وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا

Ertinya: Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.

Hal ini dijelaskan dengan cukup baik oleh ulamak sirah dalam tulisan mereka seperti Dr Ali Mohammad As Salabi, pentahkik (pengkaji) sirah yang terkenal. Paparan sunnah dakwah ini menjadi pengajaran penting kepada kita semua, bahawa tidak semua komen atau pandangan itu perlu dijadikan perhatian

Jika baik dan membina sudah pastilah ia datang dari mereka yang memang telus membantu ke arah islah(pembaikan) dan bangunkan sesuatu. Adapun jika ia datang dengan satu kritikan yang jelek maka para penggerak agama perlulah mempunyai kemahiran menilai sama ada ia lahir dari pengomen yang benar atau yang dusta dan busuk hati.

Jika sesungguhnya pendakwah itu mengenal pasti, mereka memang berniat musuh dan jahat dan inilah juga diperhatikan terlalu merata di media kini walaupun tulisan atau hantaran gambar membawa mesej baik, ikhlas untuk umat. Tidak menjadi untung melayannya bahkan sunnah untuk terus fokus bergerak. Bah kata Marhum Tuan Guru Nik Aziz dalam bukunya “Kemuncup Dalam Perjuangan”.

Andai pula keyakinan pendakwah boleh menerangkan berterusan kebenaran kepada segala serangan kalam juhala muraqqab (bodoh tegar), teruskan saja. Boleh jadi Allah berikan hidayah menerima yang benar.

Abu Maryam Safiyah
18 Oktober 2024
Kunak, Sabah