Home Berita PAS Wilayah

Mengisi Kemenangan, Mengukuh Perpaduan

847
SHARE

MENGISI KEMENANGAN, MENGUKUH PERPADUAN

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Kita bersyukur kerana dapat berkumpul pada hari ini bagi melaksanakan tanggungjawab memastikan bahtera jamaah yang kita kasihi ini terus berlayar dengan gagah walaupun dunia kini sedang diuji dengan wabak COVID-19.

UJIAN COVID-19

Allah SWT Yang Maha Berkuasa menjadikan penyakit untuk mengajak kita semua kembali kepada-Nya. Walaupun wabak COVID-19 ini memberikan pelbagai kesan dari sudut kesihatan dan nyawa, kehilangan pekerjaan, kesulitan hidup dan sekatan kebebasan bersosial, namun tugas kita sebagai pendokong agama Allah harus sentiasa bersikap positif dan mencari hikmah di sebalik ujian yang berlaku.

InsyaAllah Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS), akan terus mara dalam pelbagai situasi untuk memainkan peranan menjulang kalimah Allah dan memimpin seluruh wanita ke arah rahmat dan keredaan Allah SWT. Muslimat PAS yang mendokong agama Allah menawarkan khidmat kepada rakyat atas dasar kasih sayang dan keprihatinan yang berterusan. Muslimat PAS juga sentiasa bersedia untuk menjadi sayap utama jamaah dalam melebarkan keutuhan perjuangan demi untuk kebaikan seluruh rakyat dan negara tercinta ini.

SUASANA POLITIK BAHARU

Kita bermuktamar dalam suasana sambutan Kemerdekaan Negara. Sejak negara kita Merdeka, penggal kerajaan yang ke-14 ini adalah penggal yang paling unik. Pertama, sejarah besar telah tercatat apabila berlaku perubahan tampuk kerajaan dengan tumpasnya gabungan parti pemerintah yang bertahan lama iaitu sejak Merdeka. Kedua, berlaku keruntuhan sebuah kerajaan tanpa melalui Pilihan Raya akibat masalah dalaman pakatan parti-parti dalam kerajaan terdahulu.

Hari ini kita berada dalam situasi politik yang tidak menentu dengan kedudukan tipis kerajaan Perikatan Nasional iaitu 113 kerusi berbanding pembangkang yang mempunyai kekuatan sokongan seramai 109 orang anggota Dewan Rakyat. PAS pernah mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan negeri Kelantan dengan hanya perbezaan satu kerusi selama beberapa tahun sebelum mendapat mandat baharu melalui PRU tahun 2008. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, perbezaan yang sangat tipis itu tidak menjejaskan khidmat kerajaan untuk berbakti kepada rakyat dengan sebaik-baiknya.

Namun begitu, sebagai anggota parti, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi seribu satu kemungkinan. Saya percaya, para muslimat sentiasa bersedia menyahut cabaran bila-bila masa sahaja gendang pilihan raya dipalu. InsyaAllah apa yang Allah takdirkan, itulah yang terbaik untuk kita. Tugas kita ialah berbakti dalam ruang serta peluang yang ada, dan tidak gopoh atau tamak.

HAKIKAT KEMENANGAN

Sebagai anggota perjuangan Islam, kita sentiasa diajar bahawa kemenangan hakiki adalah apabila amalan dan perjuangan kita diterima oleh Allah sebagai amal soleh dan dikurniakan rahmat dan keredaan-Nya. Sememangnya, kita menyertai pilihan raya untuk menang kerusi, namun menang kerusi adalah hanya salah satu anak tangga menuju kemenangan di sisi Allah. Inilah bekalan kekuatan kita sejak dulu dan sampai bila-bila.

Kerana itulah kita tidak takut untuk menerima amanah menjadi sebahagian dari kerajaan, dan kita tidak pernah gusar jika Allah tidak mengizinkan kita menjadi kerajaan. Kita sentiasa diingatkan bahawa pangkat, kedudukan, gelaran, harta, kerusi dan jawatan adalah sekadar pinjaman untuk menguji kita adakah kita bersyukur atau kufur nikmat. Kita bersyukur apabila kita menggunakan jawatan dan kemenangan untuk mengangkat agama, membela rakyat dan menjulang maruah negara. Mereka yang menggunakan kuasa untuk kepentingan diri dan kepentingan kelompok pasti akan menderita, menjadi hina dan dijatuhkan oleh Allah di dunia dan di akhirat. Na’udzu billahi min zalik.

MENGISI KEMENANGAN

Inilah erti kemenangan. Alhamdulillah, PAS diberikan peluang oleh Allah untuk menyertai kerajaan Persekutuan di samping mentadbir tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Peluang ini hakikatnya datang dari Allah, dan ia adalah satu bentuk ujian kemenangan.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab seluruh anggota jemaah untuk memberikan dukungan yang bersungguh-sungguh bagi mengisi kemenangan ini. Rakyat sedang memerhatikan PAS.

Adakah PAS benar-benar parti yang berintegriti dan bersih? Adakah PAS mampu menguruskan ekonomi negara? Adakah PAS benar-benar prihatin dengan masalah rakyat? Adakah PAS mampu menerajui kepimpinan negara? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab, bukan melalui pengakuan dan penjelasan, tetapi melalui tindakan dan prestasi.

Tanggungjawab mengisi kemenangan bukan hanya perlu diisi oleh barisan Menteri atau pemegang jawatan utama dalam kerajaan sahaja, bahkan perlu dipenuhi oleh semua aktivis, ahli dan penyokong PAS.

Mengisi kemenangan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak yang dekat dan sementara, tetapi untuk memenuhi matlamat jangka masa panjang PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS.

TIGA PERSEDIAAN

Oleh yang demikian, seluruh ahli PAS terutama muslimat perlu mempunyai tiga persediaan berikut:

Pertama, PERSEDIAAAN KUALITI KEPIMPINAN. Usaha yang tersusun dan berstrategik perlu digarap bagi melahirkan barisan kepimpinan yang mampu mengisi ruang-ruang teraju pentadbiran sebagai anggota kabinet kerajaan serta pasukan yang mantap bagi menggerakkan agensi utama kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan sebagainya.

Kedua, PERSEDIAAN PEMIKIRAN DAN BUDAYA. Tanggungjawab dalam kepimpinan negara serta negeri memerlukan orientasi baru dari sudut sikap, kaedah bertindak, interaksi dengan masyarakat dan cara menangani sesuatu isu.

Wujud keperluan untuk membezakan sikap, pemikiran dan budaya sebagai pembangkang dan sebagai kerajaan, agar ahli dan kepimpinan PAS dapat menyesuaikan diri dengan tanggungjawab yang digalas. Selain itu, pemikiran dan budaya kerja jamaah juga perlu sentiasa diolah agar menepati kehendak perkembangan semasa dari sudut budaya kerja, teknologi, kecenderungan generasi baharu dan sosio-ekonomi masyarakat.

Ketiga, persediaan terpenting iaitu PERSEDIAAN IMAN DAN AKHLAK. Kekuatan iman dan akhlak adalah teras kepada segala kekuatan pejuang Islam.

Kesibukan menunaikan amanah dalam pentadbiran kerajaan bukan alasan untuk mengendurkan aktiviti tarbiyah, bahkan ia adalah sebab untuk merancakkan lagi aktiviti tarbiyah masing-masing. Jawatan dan pangkat, serta kuasa menguruskan kewangan negara merupakan ujian besar yang menuntut agar tarbiyah diperkukuh dengan lebih tersusun dan bersinergi. Aktiviti tarbiyah bukan sahaja dilaksanakan melalui jentera parti, bahkan juga diserap melalui slot-slot pengisian dalam aktiviti kerajaan dan juga GLC, sebagai sebahagian dari proses pengukuhan integriti dalam kerajaan.

DANA SUMAIYYAH

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah ibarat sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai tersebut ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Menyahut cabaran untuk mengisi kemenangan, bersempena dengan muktamar kita pada hari ini, saya ingin mengajak seluruh muslimat untuk berinfak secara tetap ke Dana Sumaiyyah bagi merealisasikan impian kita bersama untuk memiliki sebuah bangunan Sumaiyyah One Stop Centre sebagai Pusat Pengembangan Ilmu dan Dakwah di Wilayah Persekutuan.

Bangunan ini nanti akan menjadi Pusat Pengembangan Ilmu, Pusat Dakwah, Pusat Khidmat Masyarakat terutama wanita, Pusat Rujukan Kaunseling dan Permasalahan Wanita dan sebagai Pusat Persinggahan Sementara Golongan Musafir. Sudah sampai masanya Muslimat PAS menjadi rujukan kepada wanita-wanita di luar sana yang memerlukan nasihat dan pembelaan.

Kita telah mengorak langkah ke arah tersebut sejak beberapa tahun yang lalu dan sehingga kini, Dana Sumaiyyah telah memperoleh pendapatan tetap daripada sewaan rumah dan derma serta sumbangan dari Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan (Dana RM1 DMPK), dan kita akan melangkah ke fasa berikutnya iaitu mencari tapak bangunan yang sesuai.

Akhir sekali besarlah harapan saya agar kita dapat mempercepatkan misi dan visi kita ini dengan mempergiatkan lagi kutipan Dana Sumaiyyah.

PERPADUAN UMMAH

Selain daripada tanggungjawab untuk mengisi kemenangan, Muslimat PAS juga digesa untuk menjadi penggerak utama yang dapat membina kekuatan ummah melalui kasih sayang dan perpaduan. Perpaduan perlu bermula dari dalam iaitu melalui perpaduan sesama anggota jamaah, diikuti dengan perpaduan dalam kerjasama politik melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Seterusnya perlu dibina kekuatan perpaduan ummah di Malaysia dengan menyatukan seluruh kekuatan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik, aliran pemikiran dan pertubuhan. Jaringan kerjasama umat Islam melalui pelbagai platform dan agenda, sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan, kebajikan, sukarelawan, perjuangan maruah umat Islam dan sebagainya, perlu digiatkan dan diperkukuhkan.

Kekuatan perpaduan umat Islam menjadi pendorong utama kepada perpaduan nasional. Hubungan yang erat seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh, Bajau dan lain-lain adalah satu simbol kejayaan negara yang menjadi penanda aras kepada keharmonian dalam kepelbagaian yang dihasratkan oleh warga dunia.

KASIH SAYANG

Perlu juga ditekankan bahawa cita-cita untuk mengukuh perpaduan hanya akan terhasil jika ia bermula dari hati yang penuh dengan kasih sayang. Seringkali kita terlalu memberikan fokus kepada hasil (outcome) iaitu ‘perpaduan’, dengan mengenepikan kepentingan ‘nilai utama’ (substantive value) iaitu ‘kasih sayang’, yang mampu membawa kepada hasil yang diingini. Perpaduan yang sekadar dipamerkan secara fizikal atau yang hanya dilaungkan melalui lagu dan slogan, tidak mampu bertahan lama.

Oleh yang demikian, perpaduan perlu digerakkan melalui kesedaran dan kasih sayang, serta mengenepikan unsur kebencian. Kebencian atas dasar perbezaan agama atau kaum, garis politik kepartian, sempadan kenegerian, dan seumpamanya perlu dikikis melalui sikap hormat, mesra dan perasaan kasih sayang. Inilah kunci kepada perpaduan negara.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berganding bahu mengisi amanah kemenangan dan berusaha sedaya upaya untuk membina keutuhan negara melalui perpaduan yang utuh.

Selamat bermuktamar, semoga Allah memberkati usaha kalian.

Siiruu ‘ala barakatillah.

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua
Dewan Musllimat PAS Wilayah Persekutuan
23 Ogos 2020 bersamaan 4 Muharram 1442H