Oleh : HABSAH ALI
TEMERLOH, 18 Jan : Naqibat (ketua usrah) Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Pahang diseru untuk mengilmukan masyarakat sekitar khususnya kepada wanita.
Begitulah antara ucapan Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor ketika Majlis Kesyukuran APSA Pahang Kumpulan ke-2 di Sungai Gau baru-baru ini.
“Dari sejarah kita melihat bahawa masyarakat Islam masih lagi tidak menerima politik Islam khususnya wanita.
“Mereka yang menafikan kewajipan politik dalam Islam, adalah disebabkan oleh sifat jahil dan tidak memahami tuntutan kandungan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
“Justeru naqibat perlu menggalas tanggung jawab terjun ke dalam masyarakat menyampaikan dakwah agar masyarakat bebas dari kejahilan tersebut,” kata Salamiah.
Di samping itu beliau juga menyeru agar naqibat dapat meningkatkan kualiti diri dengan amalan-amalan soleh yang terkandung dalam My Mutabaah (aplikasi muhasabah diri) yang telah disediakan oleh PAS sendiri.
Harapannya hasil dari usaha yang berkualiti dari naqibat dapat meningkatkan kuantiti sokongan rakyat kepada perjuangan PAS untuk menobatkan Islam di negara ini tambahnya lagi.
Majlis dihadiri oleh Pengarah APSA Pahang Ustazah Norzilah Hussain, pensyarah-pensyarah APSA Pahang, Ahli Jawatankuasa APSA dan para naqibat dari kumpulan ke-2.