Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Mengapa DAP Mahu Pinda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960?

34
SHARE

PAS Wilayah Persekutuan dengan tegas membantah sebarang usaha oleh DAP untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, khususnya berkenaan cadangan pembentukan jawatan Ahli Majlis Berkuasa Tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan.

Cadangan ini, jika diluluskan, akan membawa implikasi besar terhadap struktur pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, sekaligus mempersoalkan dasar-dasar asal penubuhan Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem pentadbiran negara kita dan sebarang perubahan besar perlu dibuat dengan berhati-hati, melibatkan semua pihak berkepentingan.

PAS Wilayah Persekutuan and melihat cadangan ini sebagai satu ancaman kepada prinsip tadbir urus dan kepentingan rakyat di Wilayah Persekutuan, khususnya bagi penduduk yang sudah sekian lama hidup di bawah sistem yang sedia ada. Pindaan yang dicadangkan ini boleh membuka ruang kepada manipulasi politik, dan kami bimbang ia akan menghakis keseimbangan kuasa antara pihak berkuasa pusat dan tempatan, serta mencetuskan konflik dalam pengurusan hal-hal awam di kawasan Wilayah Persekutuan.

Kami menyeru kepada semua pihak agar menolak cadangan ini dan kekal dengan dasar serta undang-undang sedia ada yang telah terbukti berkesan dalam mengurus tadbir Wilayah Persekutuan. Sebarang bentuk perubahan yang melibatkan pindaan kepada Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 harus melalui proses perundingan yang menyeluruh dan tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa.

PAS Wilayah Persekutuan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan sebarang langkah yang diambil oleh mana-mana pihak politik tidak merugikan kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan.

 

Ustaz Haji Azhar bin Yahya

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan