Home Berita PAS Wilayah

Mendepani Cabaran Norma Baharu Alam Pekerjaan

1165
SHARE

Islam mengajar umatnya untuk bekerja keras dan amanah dalam melakukan pekerjaan sebagaimana dalam Surah Al Qasas ayat 26,

قَالَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا يَٰٓأَبَتِ ٱسۡتَـٔۡجِرۡهُۖ إِنَّ خَيۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِيُّ ٱلۡأَمِينُ

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang yang bekerja (pada kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

Ajaran ini menjadi asas untuk kita memberikan khidmat yang terbaik dan penuh amanah dalam bidang masing – masing baik sektor pentadbiran, keselamatan, pendidikan, perkhidmatan dan lain – lain.

Pada saat negara kita sedang mendepani penularan wabak Covid-19 ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki bulan Ramadhan, masih ramai di antara sahabat dan ahli keluarga kita yang perlu terus bekerja.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada mereka yang sedang bekerja dengan tekun demi memastikan pelbagai operasi penting dalam negara dapat berfungsi dengan baik.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa peranan golongan bekerja kepada sesebuah negara amat penting, kita juga perlu menerima hakikat bahawa norma baharu pasca Covid-19 pasti mengubah landskap alam pekerjaan di seluruh dunia.

Besar kemungkinan teknologi mengambil alih peranan manusia sedikit demi sedikit, sekali gus mengurang dan melupuskan peluang pekerjaan.

Penggunaan mesin secara automatik menyebabkan tidak ada lagi keperluan fizikal dalam melakukan pekerjaan.

Ini adalah cabaran yang harus difikirkan bersama antara kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, syarikat-syarikat koperat dan masyarakat seluruhnya demi survival negara kita.

Oleh itu, Sambutan Hari Pekerja tahun ini wajar menjadi medan untuk kita memperhalusi isu strategik mengenai pekerja dan pekerjaan khususnya di negara ini pada masa depan.

Lantas tema Hari Pekerja 2020 iaitu “Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu” dilihat amat bertepatan dengan situasi yang dihadapi masa kini.

Dengan ini, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan merakamkan ucapan Selamat Hari Pekerja kepada semua warganegara Malaysia yang bekerja baik di dalam mahupun luar negara.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT memberi bantuan untuk kita mengharungi ujian ini dengan selamat dan dimudahkan urusan pekerjaan kita dalam membina semula negara ke arah kesejahteraan sejagat. Amin.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN