Home Surat Pembaca

Memoir Sedetik Bersama Sang Genius

524
SHARE

MEMOIR SEDETIK BERSAMA SANG GENIUS
(NOVEMBER 2016 – MEI 2017)

1 – BERMULA SEBUAH CERITA

Kali pertama saya kenal watak Prof Khazani ialah dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat Negeri Terengganu akhir Mac tahun lepas. Ketika itu beliau membentangkan satu tajuk yang amat penting, berhubung kedudukan terkini kerusi parlimen seluruh negara dan unjuran PRU14.

Waktu itu saya cukup kagum dengan beliau. Bangga mendapat tahu bahawa PAS memiliki seorang yang begitu hebat seperti beliau. Sarat dengan fakta dan andaian yang membumi.

Walaupun belum tahu siapa sebenarnya beliau, apa latarbelakang dan apa jawatan beliau, saya sudah meletakkan diri sebagai peminat beliau. Sejak hari itu juga saya bercita-cita mahu mengenali beliau dengan lebih dekat. Saya tahu dia orang Terengganu dan menunggu kalau-kalau ada lagi program seterusnya bersama beliau.

Bulan Oktober tahun lepas, seorang kawan menghubungi memberitahu Prof Khazani ingin berjumpa untuk satu tugasan. Saya sangat teruja dan bersyukur. Cita-cita itu pantas dimakbulkan Allah. Saya terus bersetuju walaupun belum ada tarikh muktamad. Saya bersedia kosongkan semua jadual untuk berjumpa dengannya.

Masuk bulan November, beliau minta jumpa saya di Ibukota dengan segera. Tanpa berlengah, saya terus mohon cuti dan menghadap beliau. Hasil perbincangan, beliau mahu saya mulakan tugas waktu itu juga. Tetapi saya minta dilewatkan sehingga awal tahun hadapan. Saya terpaksa kerana bulan Disember akan ke tanah suci, buat kali pertama. Tetapi beliau minta terus berkhidmat usai mengerjakan Umrah. Saya akur.

Di Mekah, saya sekali lagi dihubungi sahabat yang menjadi pembantu setia Prof Khazani. Beliau minta untuk saya singgah sebentar di KL sesampainya dari KLIA nanti. Urusan penerbangan ke Terengganu akan beliau aturkan. Sekali lagi saya akur, walaupun agak keberatan memikirkan penat merentas perjalanan lebih 24 jam.

Kira-kira seminggu selepas itu, saya sudah diminta untuk menghadiri mesyuarat bersama Prof Khazani. Kala itu adalah musim cuti sekolah. Berbagai program dan juga percutian dirancang oleh para kenalan. Sedih juga mengenang anak isteri yang belum sempat melepaskan kerinduan sepanjang pemergian ke tanah suci. Jadi saya ambil keputusan bawa mereka bersama dalam siri-siri tugasan yang menanti. Rasanya ini lebih baik daripada meninggalkan mereka bercuti sendirian.

2 – PROFESOR DI MATA SAYA

Sejak itu saya terus menjadi rapat dengan Prof Khazani. Setiap kali selesai mesyuarat, kami akan makan bersama dan bersembang bersama. Biasanya saya akan ambil peluang untuk bertanya dan berkongsi perkara-perkara ilmiah, dan yang diluar fokus mesyuarat.

Dari kebersamaan ini, saya kenali hati budi beliau. Beliau memang seorang pencinta ilmu. Sifat ingin tahu beliau sangat kuat. Beliau memiliki kelebihan memahami sesuatu yang baru dengan sangat cepat. Sangat layak beliau menerima gelaran profesor di awal usia 30an lagi. 11 paten ciptaan bukan sesuatu yang mengejutkan. Gelaran saintis muda kebangsaan juga tuntas bagi beliau.

Dengan cara beliau mengenalpasti masalah, menyusun kerangka kerja dan menggariskan strategi jangka panjang dan pendek, posisinya sebagai Pengarah Institut Strategi PAS (ISP) sangat layak diberikan padanya. Setakat yang saya tahu, beliau orang pertama dan satu-satunya yang pernah memimpin ISP. Seolah-olah ISP ditubuhkan kerana beliau!

Dengan peranannya sebagai AJK PAS Pusat terlantik pada sesi lepas, beliau harus pusing satu Malaysia memberikan penerangan kepada jentera PAS akan halatuju terkini parti secara komprehensif dan strategik. Jika beliau mengajak, saya sebolehnya tidak akan lepaskan peluang untuk bersama beliau. Bukan untuk menjadi peserta program, tetapi bicara dalam kenderaan sepanjang perjalanan itu yang mahal.

3 – SEKEJAP YANG SARAT

Beliau seorang yang humble. Walaupun saya jauh lebih muda, tetapi beliau langsung tidak kisah untuk menganggap saya sebagai kawan. Kami bersembang, bergurau dan kadang-kadang saling sakat menyakat. Beliau tidak lokek berkongsi cerita dan ilmu.

Minat Prof Khazani ialah berfikir dan juga membantu orang lain berfikir. Beliau semacam memiliki master key yang boleh membuka pintu-pintu dalam otak kita. Beliau kaya dengan formula dan pelan. Mendampingi beliau membuatkan saya semakin menghargai anugerah akal yang dikurniakan tuhan.

Saya suka kalau beliau bercerita apa yang dia sembang-sembang dengan Ayah Chik. Kalau datang ke KL, pasti Prof Khazani akan dipanggil mengadap Tuan Guru Presiden. Sesuailah dengan jawatannya sebagai pengarah strategi. Ayah Chik juga sudah begitu dikenali sebagai ahli politik yang strategis. Bagi Ayah Chik, Prof Khazani adalah insan yang boleh memahami, menterjemahkan, menvisualisekan dan menyokong idea Ayah Chik dalam bentuk data dan pelan tindakan.

Prof Khazani tidak seperti kebanyakan pimpinan lain. Beliau tidak melayan teguran dan ketidakpuashatian orang bawahan seperti ayah melayan karenah anak. Sebaliknya Prof Khazani akan dengar secara dan respons serius penuh perhatian ibarat berbincang dengan VVIP. Tidak semuanya beliau bersetuju tetapi cara beliau mengemukakan sudut pandang tersendiri menunjukkan keseriusan beliau akan perkara yang kita sebutkan. Hilang gap antara ahli dan pemimpin dan rasa ukhuwwah semakin erat walau berbeza pendapat.

Selain isu-isu parti, saya gemar bersembang isu-isu ilmiah. Beliau suka minta pandangan saya tentang ilmu agama, terutamanya bab akidah. Sebagai seorang saintis muslim, beliau ada cara pandang tersendiri terhadap akidah. Ia secara langsung memberi input baharu juga buat saya.

Saya pula suka bertanya beliau akan kaedah-kaedah saintifik dalam memahami sesuatu. Dari perkongsian beliau, rupa-rupanya Ulama silam Islam memiliki minda seorang saintis dalam menterjemahkan sesuatu ilmu dalam karya-karya mereka. Cuma dewasa ini skill itu semakin berkurangan di kalangan generasi baharu.

Jarang kami berbeza pendapat. Biasanya setelah berbincang, pasti saya akan bersetuju dengan beliau. Kalau tidak pun, beliau akan bersetuju dengan saya. Kalau ada yang kata Prof Khazani seorang yang ‘keras keng’, saya tidak fikir begitu. Keras keng adalah mereka yang menegakkan benang basah. Yang tidak ada hujah tetapi masih mempertahankan pandanganya. Sebaliknya Prof Khazani berpendapat dengan sokongan hujah yang kuat. Apa jua pandangan yang lebih rasional dan kukuh, beliau akan terima dan tak kisah menarik balik pendirian asal.

Tidak sangka banyak juga perkara-perkara yang saya dapat selama bersama beliau. Nak disenaraikan tentulah terlalu panjang. Antara yang dapat dikongsi ialah pendapat beliau bahawa semua ilmu di dunia ini jika difahami dengan kaedah yang betul akan membawa kepada mentauhidkan Allah. Selama ini saya beranggapan ilmu Mantiq antara ilmu yang tidak ada kena mengena bahkan bercanggah dengan methodologi tauhid. Tetapi beliau menyanggah pandangan ini.

Sangat puas jika dapat bersembang dengan beliau. Sebelum ini saya cuma berpeluang bersembang perkara-perkara melibatkan sains dan agama sebegitu dengan ayah saya sahaja. Tapi saya jarang balik ke rumah dek kekangan masa. Pernah kami berpeluang sembang, duduk di ruang tamu daripada lepas Isyak sampai jam hampir Subuh. Tak sedar waktu berlalu.

Setiap kali timbul pesoalan baru dalam apa jua perkara, pasti saya akan simpan soalan untuk bertanya Prof Khazani jika berpeluang. Saya sudah merancang banyak perkara untuk bertanya beliau. Tetapi sayang, tak berkesempatan untuk bersama lama.

4 – TIBA SAAT MELAMBAI PERGI

Sehari sebelum beliau tidak sedarkan diri, beliau mengajak untuk bermesyuarat keesokan malam. Beliau kata akan menikmati hidangan ‘istimewa’ malam itu. Kami langsung tak menjangka hidangan istimewa itu benar-benar istimewa, khusus buat beliau seorang di alam sana.

Kami membelek mesej-mesej lamanya di whatsapp. Beliau antara pemberi semangat kepada saya untuk terus menulis walaupun dicerca ramai pihak. Antara yang paling dihargai adalah sokongannya terhadap beberapa tulisan menjelang muktamar, yang menjadi polemik di kalangan ahli PAS waktu itu. Kerana sokongannya, beliau turut dikecam. Melihat beliau yang langsung tidak hiraukan kecaman itu, membuat saya tambah kuat.

Sebelum ini banyak kekeliruan dalam jemaah yang saya pendamkan, bimbang ianya tidak betul dan terlalu sensitif. Tetapi setelah mengenali beliau, saya jadi yakin untuk terus berkhidmat. Mana yang betul beliau akan sokong. Mana yang salah beliau akan tegur terus. Respon terakhir beliau terhadap tulisan saya ialah pada hari beliau jatuh sakit. Beliau telah memanjangkan tulisan saya bertajuk PAS BERJAYA TEMUI UBAT ALERGIK POLITIK sambil meminta untuk ditularkan. Saya kira itu pengiktirafan terakhir daripada beliau.

Hanya dua jam selepas beliau pengsan, barulah saya mendapat makluman. Beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika tunduk untuk mengambil wudhu di pejabat. Mujurlah seorang sahabat berada bersama Prof segera memegang beliau. Prof terus dikejarkan ke Hospital Serdang.

Hari pertama pemeriksaan CT Scan mendapati tiada apa-apa masalah di jantung atau kepala. Semua organ berfungsi seperti biasa. Keadaan beliau juga ibarat tidur sahaja. Mungkin kepenatan.

Saya fikir Allah sengaja bagi dia rehat. Memang dia begitu gigih bekerja ke hulu ke hilir. Beliau pernah beritahu, beliau sangat puashati dapat tidur dengan begitu nyenyak pada satu malam itu. Sudah lama tidak tidur senyenyak itu. Saya tanya berapa lama, dia jawab empat jam. Empat jam sahaja sudah begitu nikmat?! Katanya beliau sudah lama tidak dapat tidur selama itu.

Lewat malam itu juga, beliau terpaksa dipindahkan ke hospital lain kerana wad penuh. Pilihan antara dua, samada IJN atau HUKM. Akhirnya keluarga memutuskan untuk ke HUKM. Beliau dimasukkan ke ICU dan menjalani MRI Scan pula.

Esok hari saya kunjungi beliau lagi. Tiada sebarang perkembangan terbaru melainkan didapati ada darah beku di kepalanya. Saya mulai risau. Tetapi para sahabat masih memberi keyakinan keadaan itu boleh diubati. Prof juga tidak kelihatan pelik. Ibarat tidur sahaja. Tangannya masih panas. Mukanya langsung tidak pucat.

Esoknya Jumaat, saya kunjungi beliau lagi. Doktor menyatakan beliau diserang accute stroke. Katanya 1/3 otaknya sudah tidak berfungsi. Pada waktu itu semua bercakap mengharap keajaiban daripada Allah sWT sahaja. Saya sempat membacakan Surah Sad di telinganya. Kawan-kawan lain juga bergilir membacakan al-Quran.

Malam itu saya terima berita jantungnya menunjukkan reaksi positif sejak petang. Saya yakin ini mesti daripada bacaan al-Quran. Rasa semangat untuk baca al-Quran ke telinga beliau semakin berkobar-kobar. Pakar terapi juga ada menyebut orang yang diserang koma perlu sentiasa diziarahi dan perlu berbual dengannya. Dari itu beliau akan cuba respon dan itulah yang akan menstabilkan fingsi badannya.

Usai usrah di Damansara, saya bersama seorang sahabat melencong ke HUKM untuk menunaikan beberapa pesanan keluarga beliau. Jam sudah menghampiri 1 pagi. Saya ambil peluang untuk baca Surah al-Mulk, bacaan lazim sebelum tidur. Saya berbisik beberapa perkataan semangat untuk belia. Sebelum pergi, saya belai rambut dan cium dahinya. Rasa seolah-olah sedang mendodoikan beliau.

Saya tidur dengan tenang malam/pagi itu. Lebih tenang dari malam-malam lain kerana menganggap Prof sudah semakin pulih. Esoknya, jam 8 pagi baru saya mencapai handphone. Tidak sabar mendengar perkembangan positif beliau.

5 – TERASA BARU SEMALAM

Allah menghendaki yang terbaik. Beliau sudah dijemput ke hadratNya di hening pagi tersebut. Tiada apa lagi yang boleh saya lafazkan. Hanya Innalillah dan Allahuakbar yang terkeluar dari mulut.

Tanpa berlengah saya terus menghubungi sahabat bertanya urusan seterusnya. Kebetulan memang sahabat itu sedang bersiap menuju ke Hospital. Saya terus menumpang ke sana bertiga. Dalam kereta, kami mengatur segala urusan daripada hospital hinggalah ke tanah perkuburan.

Sepanjang perjalanan, kami mengenang saat-saat manis bersama Prof Khazani. Banyak lagi rupanya yang saya tak tahu berkenaan beliau.

Prof Khazani rupa-rupanya telah membangunkan beratus buah penyelidikan dalam berbagai bidang. Beliau telah mengetuai kumpulan beratus pakar-pakar dan intelek dalam dan luar PAS terdiri daripada para profesor, pensyarah, doktor perubatan, jurutera, akauntan dan ahli ekonomi. Kebanyakan seperti beliau, bergerak di belakang tabir tetapi memberi sumbangan yang sangat signifikan kepada pembangunan PAS.

Beliau juga hebat di luar parti. Walaupun sudah bersara daripada universiti, tetapi masih dipanggil untuk memberi pengisian di serata institusi awam dan swasta. Produk yang dibangunkan Prof Khazani pernah dinobatkan sebagai rekacipta terbaik dalam satu pameran inovasi dunia di Pittsburgh, USA.

Pernah beliau dipanggil membimbing sekumpulan penyelidik di TNB. Beliau dipanggil kerana TNB diamanahkan oleh kerajaan membangunkan satu RnD berkait satu isu. Mereka buntu untuk mengenalpasti topik-topik penyelidikan yang ingin dibuat. Berdasarkan formula K-Chart yang dimiliki, beliau cuba memahami apa skop tugasan TNB itu dan kemudian terus membimbing para penyelidik tersebut. Hasilnya, daripada kosong Prof berjaya mencadangkan hampir 200 buah tajuk penyelidikan!

Walaupun ada yang mengatakan beliau tidak lagi boleh digelar profesor kerana sudah meletakkan jawatan di universiti, tetapi beliau masih lagi berperanan aktif sebagai seorang profesor, membangunkan dan membimbing kumpulan akademik. Justeru saya masih lagi dan akan tetap menggelar beliau sebagai profesor sampai bila-bila.

6 – PERJALANAN TERAKHIR

Sampai di Hospital, saya berpeluang sekali lagi membacakan surah untuk beliau. Surah Yaasin pula kami perdengarkan. Suasana begitu hiba dan sayu. Saya tak dapat lihat wajah sahabat-sahabat yang sugul kesedihan. Saya terus mendapatkan orang berkenaan untuk membantu urusan seterusnya.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Begitu mudah urusannya. Keluarga juga memberi kerjasama yang sangat baik. Sahabat berkata, Prof Khazani sentiasa berdoa mahu mati dalam keadaan mudah, tak mahu banyak menyusahkan orang. Tuhan makbulkan doanya. Sakit sekejap dan terus mengadap Ilahi. MasyaAllah.

Cuma ada satu perkara yang masih saya risau. Bagaimana Ayah Chik mahu menghadapi berita pemergian Prof Khazani. Saya bimbang berita ini boleh mengganggu kesihatan beliau yang sudah semakin baik. Harap-harapnya orang di sekeliling Ayah Chik dapat menyampaikan berita ini kepada beliau penuh berhemah.

Saya sudah melihat bagaimana Ayah Chik tatkala menghadapi pemergian TG Harun Taib, TG Haron Din, TG Nik Aziz dan sahabat rapat beliau yang lain. Tak sanggup rasanya melihat beliau dirudung sedih lagi.

Apapun yang berlaku, tiada perlu untuk merintih lagi. Adat yang hidup pasti ada ajalnya. Bukan kita yang menentukan. Kita sekadar boleh merancang. Usah dirisau, pemergian beliau semestinya punya hikmah yang besar. Tuhan tidak pernah putuskan sesuatu yang sia-sia.

Perjuangan perlu diteruskan. Sisa-sisa usaha yang ditinggalkan perlu kami sempurnakan juga. Walaupun sangat sedih kehilangan beliau, saya bersyukur sepanjang mengenali beliau, Prof telah kenalkan saya dengan ramai sahabat-sahabat baru yang se kepala dengan kami. Mereka juga tidak kurang hebatnya. Berbagai profesion dan latarbelakang. Saya yakin sahabat-sahabat ini mampu meneruskan agenda yang Prof Khazani telah tinggalkan. InsyaAllah saya akan menjadi pembantu setia.

Terima kasih Ya Allah. Kau pinjamkan hubungan persahabatan ini walaupun untuk 7 bulan cuma. Sangat besar ertinya bagi diri kerdil ini. Perkenalan yang telah mengubah corak perjalanan hidupku.

Ya Allah. Kau kurniakanlah juga matiku seperti mati Prof Khazani. Mati dalam pakaian jihad.

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}