Home Berita PAS Sabah

Memelihara kelestarian alam adalah sebahagian tugas khalifah Allah

127
SHARE

 

Janira Ain Abu Bakar
10 Jun 2021

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan menyeru agar kesedaran menjaga ekosistem lautan dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat.

Merujuk kepada sambutan Hari Lautan pada 8 Jun lalu yang bertemakan “Lautan: Kehidupan dan Sumber Penghidupan”, rakyat Sabah seharusnya menghargai lautan. Apatah lagi kedudukan Sabah di utara kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia dan diapit oleh Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan.

Hasil laut merupakan antara sumber ekonomi rakyat Sabah. Selain daripada itu, negeri Sabah mempunyai 40 buah pulau yang menarik termasuklah Pulau Sipadan yang merupakan satu-satunya pulau lautan dalam di Malaysia. Pulau-pulau ini menjadi destinasi pelancongan saban tahun.

Ketua Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Putatan, Mohamad Nazir Ramlan memetik lautan ‘ibarat paru-paru bagi bumi’, lebih 50 peratus daripada kandungan oksigen bumi datangnya daripada lautan.

Beliau juga menggariskan beberapa langkah ringkas menjaga kelestarian lautan yang boleh diamalkan bersama.

1. Perhatikan jejak karbon (‘carbon footprint’) dan elakkan pembaziran penggunaan tenaga.

2. Pastikan makanan laut yang dimakan bukan daripada spesies terancam serta sumber yang mampan (sustainable).

3. Mengurangkan penggunaan plastik, terutama plastik ‘single-use’.

4. Bersama menjaga kebersihan pantai.

5. Jangan membeli barang yang mengeksploitasi kehidupan laut.

“Konsep rahmatan lil ‘alamin dalam Islam adalah satu manifestasi kepatuhan manusia selaku khalifah yang dilantik oleh Allah. Ia bukan sekadar menjaga hak sesama manusia, tetapi juga hak haiwan, tumbuhan dan alam sekitar untuk diuruskan dengan sebaik-baiknya,” ujar Mohamad Nazir.

“Sebagaimana firman Allah dalam ayat ke-36 Surah al-Baqarah, ‘Dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)’ seharusnya kita bersama-sama memelihara kesejahteraan lautan dan alam sekitar sebagai memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.”

Hari Lautan Sedunia disambut beberapa hari selepas sambutan Hari Alam Sekitar pada 5 Jun lalu yang bertemakan “Pemulihan Ekosistem”.