Home Fastaqim

Membawa Semangat Fastaqim Pulang Ke Sarawak

1370
SHARE

MEMBAWA SEMANGAT FASTAQIM PULANG KE SARAWAK

Alhamdulillah. Selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kuala Terengganu, transit di sini sebelum berangkat pulang ke Miri, Sarawak petang nanti.

Menaiki pesawat yang sama dengan Pengarah Pilihanraya PAS Sarawak merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Sarawak, Sdr Zharudin Narudin aka Qairel Ikhwan dan Naib Ketua Pemuda PAS Sarawak, Sdr Syamsul Bahri Mohamad. Sempat minum pagi bersama dan berbincang ringkas sebelum keduanya berangkat ke Sarawak.

Sebagaimana sahabat-sahabat dari seluruh negara yang hadir ke Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal semalam, kami juga tidak dapat menyembunyikan rasa girang gembira dan ledakan motivasi yang diperolehi dari Himpunan Tarbiyah Mega yang dihadiri 200 ribu peserta ini! In shaa Allah sama-sama berazam membawa semangat Fastaqim ini ke Sarawak!

Beginilah PAS Sarawak, kebanyakan anak tempatan yang menerajui Pimpinan Negeri ialah anak muda yang berusia 30-an! Jarang berlaku di negeri lain bila Jawatankuasa Harian PAS Negeri termasuk Timbalan Pesuruhjaya Sdr Zulkipli Ramzi, Setiausaha Muhtar Suhaili As-Sarawaki, Penolong Setiausaha Sdr Hamdan B. Sani, Ketua Penerangan Sdr Muhammad Afiq Khazar, Pengarah Pilihanraya Sdr Zharudin Narudin dan tentunya Ketua Pemuda Sdr Mohammad Arifiriazul Paijo semuanya berusia di bawah 40 tahun!

Ia bukan sesuatu untuk dibanggakan. Ia bukan juga sebab kami layak sebenarnya, namun itulah dinamika yang ada buat masa ini dan saya positif bahawa ianya sesuatu yang baik untuk masa depan PAS Sarawak! Kami bertatih, namun tidak berhenti in shaa Allah. Doakan kami!

Sarawak adalah negeri bongsu PAS. Ditubuhkan sejak September 1996, sudah 21 tahun PAS mengembangkan sayapnya di Bumi Kenyalang ini. Sudah banyak perkembangan gerak kerja dalam ruang dakwah, tarbiyah dan siyasah! Meski belum memenangi sebarang kerusi sejak menyertai Pilihanraya pada tahun 1999, namun sudah ada sinar kejayaan yang semakin terang termasuk dalam usaha pembangunan pendidikan, pengkaderan anak tempatan, ikhtiar dakwah dan lain sebagainya di negeri minoriti Islam ini (Muslim merangkumi 31% daripada hampir 3 juta penduduk Sarawak).

Negeri Sarawak yang pernah dikenali sebagai Sarawak Darul Hana, merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 124,449.51 km2 dan terletak di Pulau Borneo iaitu di Malaysia Timur. Sarawak mempunyai 31 kawasan Parlimen, 82 Dewan Undangan Negeri dan 12 Bahagian meliputi 28 daerah seperti Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Kapit, Sibu, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.

Daripada 31 Kawasan Parlimen, sehingga kini PAS Sarawak telah berjaya menubuhkan 11 PAS Kawasan berdaftar iaitu Petra Jaya, Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Sibu, Mukah, Bintulu, Sibuti, Miri dan Limbang. Maksudnya masih ada 20 Kawasan Parlimen lagi yang masih belum ada Tanzim PAS di Sarawak!

Ramai teman-teman seperjuangan yang menyatakan bahawa kami bertuah menjadi antara golongan as-sabiqunal awwalun yang membangunkan PAS Sarawak. Katanya ia akan menjadi ladang pahala yang terbentang luas dan amal jaariyah yang berterusan! Semoga Allah menerima segala amalan kita semua. Taqabbalallahu minna wa minkum!

Amal jaariyah adalah sebutan bagi amalan yang terus mengalir pahalanya, walaupun orang yang melakukan amalan tersebut sudah wafat. Amalan tersebut terus menghasilkan pahala yang terus mengalir kepadanya.

Hadith tentang amal jaariyah yang popular dari Abu Hurairah menerangkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jaariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadith Riwayat Muslim).

Selain dari ketiga-tiga jenis perbuatan di atas, ada lagi beberapa perbuatan yang tergolong dalam amal jaariyah. Dalam riwayat lain, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibangunkannya, rumah yang dibangunkannya untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Atas segalanya, siiru ‘ala barakatillah! Teruskan perjuangan liridhalLah.

Muhtar Suhaili As-Sarawaki.