“Bingkisan Rida Di Bahu” | Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
Artikel : Firman Allah swt,
قُل لَّاۤ أَجِدُ فِی مَاۤ أُوحِیَ إِلَیَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمࣲ یَطۡعَمُهُۥۤ إِلَّاۤ أَن یَكُونَ مَیۡتَةً أَوۡ دَمࣰا مَّسۡفُوحًا أَوۡ لَحۡمَ خِنزِیرࣲ فَإِنَّهُۥ رِجۡسٌ أَوۡ فِسۡقًا أُهِلَّ لِغَیۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَیۡرَ بَاغࣲ وَلَا عَادࣲ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
[Surah Al-An’am 145]
“..Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani…”.
Ayat ini ada diantara 3 ayat dalam Al Quran yang dinyatakan oleh Allah bahawa dikala manusia menghadapi kesukaran dan kepayahan dalam suasana mudarat, makanan atau perkara yang diharamkan berubah dihalalkan dan diberikan kelonggaran oleh Allah.
Menerusi ayat ini, ia telah menjadi satu prinsip dalam Islam bahawa Islam tidak mengizinkan sebarang bentuk kemudaratan dan kepayahan ke atas manusia kecuali dibenarkan kepada mereka perlepasan dan keluar daripada kepayahan itu.
Antara prinsip-prinsip asas perihal ini ialah :
1.
الأصل في الأشياء الإباحة
Iaitu, Asal hukum kepada sesuatu perkara adalah dibenarkan.
2.
الضرر يزال
Iaitu, Kemudaratan itu mesti dilenyapkan.
3.
الضرورة تبيح المحظورات
Iaitu, Dengan sebab Darurat (kepayahan), maka dihalalkan yang haram.
Prinsip-prinsip inilah difahami menerusi ayat-ayat Al Quran dan Hadis Baginda saw yang meletakkan sesuatu asas bahawa disana Islam amat memahami satu keadaan terdapat perkara-perkara yang berlaku pada masa kini yang tidak dinyatakan secara jelas dalam dalil mahupun nas ketika ia diturunkan kerana perbezaan zaman dan suasana.
Ini kerana, tidak semua perkara secara terperinci dinyatakan menerusi dalil samada Al Quran mahupun Hadis. Contohnya, perihal vaksin, kaedah perubatan dan lain-lain sememangnya jikalau mencari apakah ada dalil disebut vaksin atau kaedah tertentu secara terperinci? Sudah pasti tiada ditemui.
Maka Islam membenarkan ruang ijtihad buat pihak autoriti seperti Mufti, Ulamak dan Pemerintah untuk bersungguh-sungguh dan sedaya upaya memastikan kemaslahatan manusia tetap terjamin. Jaminan itu berdasarkan kepada 5 Maqasid (tujuan Islam diturunkan dan disyariat Allah) iaitu menjaga Agama, Nyawa, Akal, Harta dan Zuriat.
Urusan mengenalpasti kemaslahatan ini dipikulkan oleh Islam ke atas bahu Pemerintah dan berganding dengan para Ulamak agar mereka perlu berusaha sedaya upaya dengan kemampuan mereka untuk menjaga 5 tujuan tadi termasuklah menjaga Nyawa manusia yang diletakkan ditingkat kedua Maqasid selepas menjaga Agama. Bersesuaian dengan kaedah yang menyebut,
تصرف الإمام علي الرعية منوط بالمصلحة
Maksudnya, “..tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah tertakluk dengan maslahah (kebaikan).”.
Vaksin COVID-19 yang sedang diusahakan ketika ini hangat diperkatakan dan diperdebat di kalangan masyarakat. Ada yang bersifat pro dan tidak kurang juga yang bersifat pesimis atau menolak vaksin.
Antara hujah-hujah kedengaran tentang mereka yang tidak berkenan dengan vaksin ini ialah kerisauan tentang status kehalalannya tambahan lagi ia ketika ini hanya dihasilkan oleh syarikat dimiliki Bukan Muslim di luar negara. Sehingga kini belum lagi ada syarikat di negara Muslim yang menghasilkan vaksin COVID-19.
Inilah penyebab dilema sebahagian kecil kumpulan yang dikatakan menolak vaksin COVID-19. Kita tidak menafikan kerisauan ini adakalanya baik dan sikap berhati-hati dalam memilih makanan dan juga apa sahaja sebagai seorang Muslim.
Namun, sikap terlalu khuatir dan syak adalah juga perkara yang perlu dihindari kerana ia juga mengundang peranan syaitan yang bermain di fikiran sehingga melakukan perkara yang tidak baik. Keraguan dan syak ini perlu dihilangkan menerusi kefahaman dan ilmu pengetahuan. Ia tidak boleh dibiarkan menghantui jiwa dan pemikiran.
Islam yang merupakan agama yang berasaskan ilmu dan bukan sekadar ilmu berkait dengan urusan akhirat dan urusan ibadat, tetapi amat menitik beratkan ilmu duniawi dalam pelbagai bidang khususnya sains.
Ilmu sains sangat diperlukan ketika kita dan seluruh dunia berdepan dengan pandemik COVID-19. Kebijaksanaan dalam sains menuntut kita merekacipta dan berusaha dengan kemampuan akal fikiran serta kajian untuk berlawan dengan penyakit dan wabak seperti pandemik COVID-19.
Gabungan kedua-dua iaitu Islam dan Sains pada ketika ini satu jalan penyelesaian terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh manusia untuk berdepan situasi getir yang mengancam nyawa manusia.
Maka Islam memberikan satu asas meluruskan kebijaksanaan sains akal manusia bahawa memanfaatkan sebarang bentuk usaha termasuklah mencipta vaksin yang mampu mencegah dan melawan COVID-19.
Asasnya seperti prinsip yang dinyatakan diatas iaitu,
1. Islam meletakkan sebarang bentuk perkara yang baharu diciptakan termasuklah ubatan dan vaksin dihukum sebagai HARUS atau Dibenarkan. Selama ia tidak bercanggah prinsip Islam yang lain seperti AQIDAH dan SYARIAT.
2. Islam menggariskan bahawa usaha menghilangkan kemudaratan yang sedang menimpa manusia WAJIB dilenyapkan. TIDAK BOLEH dibiarkan mengatasi manusia.
3. Sekiranya, dalam usaha melenyapkan KEMUDARATAN itu dan dalam keadaan DARURAT iaitu kepayahan dan kesempitan yang benar-benar berlaku, DIHARUSKAN mengambil perkara yang HARAM dengan kadar yang diperlukan.
Inilah asas-asas penyelesaian Islam dalam menghadapi situasi getir COVID-19 pada ketika ini. Kita tidak dibenarkan oleh Islam untuk menyerah diri dan hanya berdoa kepada Allah swt semata-mata untuk mengangkat musibah COVID-19 ini.
Malah usaha dan ikhtiar melawan dan mengubat COVID-19 termasuklah vaksin, SOP dan PKP adalah merupakan tuntutan Islam yang meraikan kebijaksanaan akal fikiran dan segala ilmu pelbagai bidang selama ia memanfaatkan manusia sejagat.
Islam bukan sekadar ilmu tauhid dan syariat, segala ilmu di dunia ini adalah daripada Allah dan Islam menuntut untuk kita menguasainya untuk kepentingan dan manfaat kehidupan manusia di dunia.
Justeru itu, semua Umat Islam mesti berusaha ke arah memastikan agar COVID ini lenyap dan tidak lagi mengancam kehidupan termasuk usaha mengambil vaksin dan segala bentuk rawatan dan pencegahan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor