Home Berita PAS Terengganu

Mekanisme semak dan imbang DUN tanpa pembangkang

20
SHARE

Oleh : Eikhwan Ali

Walaupun tiada pembangkang di DUN Terengganu, fungsi ‘check and balance’ masih boleh diwujudkan menerusi beberapa mekanisme.
Antaranya telah disebut oleh YB Dato’ Haji Yahaya Ali, Yang DiPertua DUN Terengganu dan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu di Rusila pada Sabtu lepas.

YB Dato’ Haji Yahaya Ali secara umum menekankan tentang keperluan rakyat untuk berperanan sebagai ‘watchdog’ manakala YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara lebih khusus menjelaskan berkenaan tugas ‘government backbenchers’ untuk memantau perjalanan dan mengawal keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri.

YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang juga ada merumuskan hubungan tanggungjawab antara rakyat dan pemimpin ini dengan memetik ucapan Saidina Abu Bakar R.A setelah dilantik sebagai khalifah, “Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku”.

Selain itu, beberapa usaha lain juga wajar dirintis supaya wujud mekanisme yang benar-benar efektif bagi menghalang penumpuan kuasa dan memastikan Kerajaan Negeri beroperasi secara telus dan bertanggungjawab.

Beberapa pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut :

(1) Kaedah yang diperuntukkan dalam Fasal 27(2) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Pertama), selain dalam situasi apabila “…tidak ada orang bukan Islam atau wanita dipilih…”, ia wajar diperluaskan kepada senario apabila “…tidak ada wakil parti pembangkang dipilih…” bagi membolehkan wakil parti pembangkang ini sekurang-kurangnya bercakap dan menyertai perbahasan.

(2) Mengambil kira peruntukan dalam Fasal 110 Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Bagi Negeri Terengganu, melantik wakil daripada parti pembangkang sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri atau setidak-tidaknya berstatus “Dijemput Hadir” atau “Turut Dijemput Hadir”.

(3) Membenarkan wakil parti pembangkang mengemukakan soalan-soalan di DUN untuk dijawab secara lisan atau bertulis dengan mempertimbangkan fasal-fasal berkaitan “Soalan-soalan” dalam Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Bagi Negeri Terengganu.

(4) Mewujudkan sebuah jawatankuasa pemantau bebas yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk wakil daripada parti pembangkang dan dengan ‘term of reference’ yang diperakui oleh DUN atau Kerajaan Negeri.

(5) Meningkatkan kebolehcapaian rakyat kepada maklumat berkaitan perlaksanaan dan keberhasilan sesuatu program / projek yang diumumkan dalam Enakmen Perbekalan atau Ucapan Belanjawan Tahunan.

Walaupun beberapa pendekatan ini boleh membentuk “semak dan imbang” dalam situasi ketiadaan pembangkang di DUN, tetapi ia mungkin tidaklah sekuat apabila adanya pembangkang yang rasmi di DUN.

Namun, keberkesanan mekanisme ini juga bergantung kepada kesediaan mereka yang berada dalam kerajaan untuk terlibat secara serius dalam dialog terbuka dan dengan nilai ketelusan dan akauntabiliti yang merupakan prinsip penting sistem demokrasi.