KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil tindakan terhadap pemasangan palang parkir yang didirikan tanpa kebenaran pihak majlis di kawasan Pulau Warisan dalam operasi yang dijalankan malam tadi.
Jurucakap MBKT memaklumkan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Sehubungan itu, pihak majlis memohon pemilik untuk mengalih atau merobohkan besi (palang) tersebut dengan segera,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi MBKT, hari ini.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk sumber rasmi MBKT bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Terdahulu, isu pemasangan palang automatik di Pulau Warisan tular baru-baru ini ekoran didapati dipasang tanpa sebarang permohonan dan kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.
Bertindak atas aduan orang ramai, MBKT mengeluarkan notis kesalahan serta mengarahkan supaya peralatan tersebut dialihkan segera.