KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyediakan tiga perkampungan moreh sepanjang Ramadan tahun ini.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, lokasi yang ditetapkan adalah kawasan tempat letak kereta di Jalan Persinggahan, tapak Payang Walk dan di Pulau Warisan.
Menurut Rosli, perkampungan moreh berkenaan akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja atau Pertubuhan Kebajikan.
“Kita menyediakan perkampungan moreh yang mengetengahkan konsep kekeluargaan bagi memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri suasana berbuka, bermoreh dan bersahur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Medan Selera Muara Utara di Kampung Hulu Takir, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai medan selera terbabit, beliau memaklumkan, ia akan dibuka selewat-lewatnya Khamis depan.
“Medan Selera Muara Utara yang membabitkan kos pembinaan kira-kira RM4 juta, menyediakan 72 ruang niaga termasuk 36 gerai makanan dan minuman, manakala bakinya adalah gerai pelbagai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rosli berkata, MBKT menyediakan kira-kira 3,000 lot tapak bazar Ramadan di dua daerah iaitu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Katanya, sebanyak 12 tapak bazar Ramadan disediakan di daerah Kuala Terengganu, manakala tujuh di daerah Kuala Nerus.
“Kita juga turut menyediakan empat tapak bazar Aidilfitri di kawasan bandaraya Kuala Terengganu dan satu di daerah Kuala Nerus.
“Tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri akan dikendalikan Persatuan Peniaga dan Penjaja serta Persatuan Kebajikan,” katanya.
Mengenai kadar sewa tapak bazar Ramadan dan tapak bazar Aidilfitri pula, Rosli berkata, MBKT mengeluarkan garis panduan kadar sewaan tapak bazar ramadan dan bazar Aidilfitri.