Home Berita PAS Pahang

MBK dikritik : Peniaga terkejut caj naik hampir 300 peratus

81
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 12 Dis – Kenaikan caj perjanjian sehingga hampir 300 peratus kepada peniaga tanpa makluman awal adalah tindakan tidak profesional oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu, menyatakan rasa kesal terhadap tindakan MBK yang menaikkan caj perjanjian tersebut.

“Tindakan MBK itu mengejutkan peniaga dan dianggap tidak profesional, sepatutnya MBK bersikap telus dalam mengenakan apa-apa caj kepada peniaga yang mendapatkan lesen atau membuat perjanjian dengan mereka.

“Semua peniaga adalah pelanggan mereka, dan sebagai pelanggan, mereka berhak mengetahui segala maklumat berkaitan caj tersebut, perlu adanya  komunikasi dengan pelanggan dilakukan dengan telus, bukan mengenakan caj secara tiba-tiba yang mengejutkan mereka,” tegasnya.

Tambah beliau, kenaikan kos yang mendadak ini dilakukan pada waktu yang tidak sesuai, ketika peniaga masih bergelut dengan cabaran ekonomi semasa.

Beliau menyeru agar pihak MBK mengutamakan kebajikan peniaga kecil dan penjaja serta mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

“Kenaikan sebanyak 300 peratus ini terlalu tinggi dan membebankan peniaga, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Tindakan ini amat dikesali,” ujarnya lagi.

Tular di akhbar Malaysia Kini semalam, beberapa peniaga turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan caj yang dianggap membebankan mereka.

Pihak MBK walau bagaimanapun masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini.