KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan disaran memperkenalkan Geran Khusus Persekutuan–Negeri melalui akta baharu di bawah kuasa Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh kerjasama antara Pusat dan negeri.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata cadangan itu bertujuan memastikan peruntukan dapat disalurkan terus kepada negeri untuk melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri tanpa ketirisan, birokrasi dan kelewatan agensi pusat.
Katanya, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan peralihan kepada model ‘cooperative federalism’ dan ‘fiscal federalism’ yang memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat, mengatasi kerangka perlembagaan yang digubal hampir tujuh dekad lalu.
“Realitinya, walaupun pelaburan berbilion ringgit diumumkan di negeri-negeri, hasil yang diperoleh kerajaan negeri sangat kecil.
“Negeri hanya mempunyai kuasa kutipan cukai dalam jumlah terhad, manakala cukai pendapatan syarikat dan individu dikutip Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dilihat sebagai peluang untuk menambah kuasa negeri atau melaksanakan reformasi desentralisasi dalam kadar tertentu supaya negeri dapat bergerak lebih pantas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian.
“Cadangan tersebut juga menekankan keperluan pembahagian kuasa percukaian yang lebih meluas agar negeri dapat memperoleh hasil yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Ahmad Samsuri juga mencadangkan satu suruhanjaya ditubuhkan untuk mengkaji Transformasi Pembangunan Negara, termasuk menilai keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia (RMK) terdahulu serta mengaudit sistem pemberian semasa seperti geran am, geran khas dan perkongsian hasil.
Katanya, cadangan itu turut merangkumi penerokaan pendekatan baharu seperti Equalization Payment dan Fiscal Stabilization Programme yang diamalkan di negara persekutuan seperti Jerman, Kanada dan Australia.
“Suruhanjaya berkenaan dicadang untuk melibatkan wakil rasmi semua negeri bagi memastikan semangat federalisme yang tulen, dengan matlamat utama menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira peringkat pentadbiran,” tambah beliau.