KUALA NERUS – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, semalam.
Majlis yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA itu menerima kunjungan ribuan pengunjung.
Orang ramai mula memenuhi lokasi majlis pada jam 8 malam, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 8.45 malam dengan diiringi Ahmad Samsuri.
Program itu bermula dengan ucapan Menteri Besar selaku tuan rumah dan diteruskan dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia.
Anwar dan Ahmad Samsuri turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar serta pengunjung yang hadir pada malam itu.
Ramai yang mengambil kesempatan untuk bersalaman dan berswafoto dengan kedua-dua pemimpin tersebut.
Hadir sama, Ahli-Ahli Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pelbagai juadah yang disajikan kepada orang ramai pada majlis itu seperti nasi aneka lauk, masakan kambing, sate, lemang, ketupat, rendang, pelbagai jenis masakan mi dan laksa, kuih-muih dan sebagainya.
Suasana kemeriahan itu turut diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air, Haqiem Rusli dan Zaki Yamani serta beberapa lagi persembahan yang memainkan lagu-lagu bertemakan Hari Raya Aidilfitri.