Home Berita PAS Terengganu

MB iring PM berbuka puasa bersama rakyat

32
SHARE

KUALA NERUS – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuka puasa bersama rakyat Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Terdahulu Menteri Kewangan itu tiba di Terengganu dan disambut Ahmad Samsuri sekitar jam 4.45 petang.

Kemudian kedua-dua pemimpin tersebut terus bergerak ke Bazaar Ramadan Gong Badak bagi beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di sana.

Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani bermula pada jam 6 petang bersama ribuan rakyat Terengganu yang hadir.

Program itu bermula dengan ucapan Menteri Besar selaku tuan rumah dan diteruskan dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia.

Anwar dan Ahmad Samsuri kemudiannya menyempurnakan penyampaian zakat, dermasiswa, geran penyelidikan dan bakul Rahmah kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) dan masyarakat setempat.

Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar, warga UMT dan masyarakat setempat yang hadir sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

Beliau kemudiannya meneruskan solat Isyak dan tarawih berjemaah di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) sebelum bertolak ke LTSM.