Home Berita PAS Perak

MAWIM, MADAH jayakan kempen derma darah

20
SHARE

Oleh : ROSLINA NOR

LUMUT, Muafakat Wanita Islam Manjung (MAWIM) telah bekerjasama dengan Unit Tabung Darah Hospital Seri Manjung buat julung kali menganjurkan program Derma Darah di perkarangan Surau Madrasah Dakwatul Islamiah (MADAH) di sini, hari ini.

Pegawai Penyelaras Tabung Darah Hospital Seri Manjung, Sharifuddin Ishak telah menetapkan sasaran lebih 40 orang penderma hadir hari ini disamping menyediakan cenderahati kepada penderma terawal.

Salah seorang penderma, Houda Mohamad berkongsi pengalaman menerima darah semasa jatuh sakit menimbulkan kesedaran terhadap dirinya kepentingan menderma darah bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Manakala Che Samrah Isa, Ahli Jawatakuasa MAWIM turut hadir menyantuni para penderma darah serta berkesempatan meninggalkan pesanan kepada para penderma.

“Penderma yang ingin menderma darah dinasihatkan makan sayur brokoli dan ikan bilis untuk menambahkan bacaan hemoglobin (HB),” ujar Che Samrah Isa yang berkongsi nasihat doktor kerana beliau tidak menepati syarat menderma darah hari ini.

Beliau mewakili Ahli Jawatankuasa MAWIM mengucapkan syukur atas kelancaran program dan berterima kasih kepada semua petugas dan penderma yang hadir menyumbangkan darah serta tenaga seterusnya melepasi target yang disasarkan iaitu sebanyak 46 pek darah.

Turut hadir dalam program bersejarah ini Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abdul Rahman, Setiausaha PAS Kawasan Lumut, Hamidun Ahmad, Pengerusi MAWIM, Zaharah Husin serta Jawatankuasa Surau MADAH.