Allah Taala berfirman:
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad S.A.W.) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. (Surah As-Soff: 9)
Begitu besar jasa dan pengorbanan, begitu banyak onak duri yang ditempuhi Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan cahaya hidayah ini hingga sampai ke seluruh pelusuk dunia.
Dengan hidayah inilah kita mendapat ketenangan, kita mendapat kesejahteraan dan in shaa Allah dengan hidayah inilah kita akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.
Jiwa kita yang penuh dengan kecintaan kepada baginda SAW pastinya dirobek dengan pelbagai penghinaan yang dibuat ke atas baginda termasuk yang terbaru dalam suatu insiden di Perancis yang mendapat kecaman pelbagai pihak.
Kita semestinya perlu berperanan mempertahankan Nabi dan Rasul yang kita cintai ini daripada serangan-serangan sebegini akibat ketidakfahaman mereka tentang Islam yang sebenar.
Firman Allah Taala:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Surah Al-Anbiya’: 107)
Marilah kita menzahirkan rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW ini dengan memperbaiki tindak tanduk kita agar dapat menjadi duta Islam kepada masyarakat dan mereka merasai kebaikan Islam dan tidak dipengaruhi oleh fahaman-fahaman yang salah tentang Islam.
Jadikanlah selawat sebagai amalan kita, semoga kita dapat bersama baginda di akhirat nanti seperti sabdanya:
الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
“Seseorang itu bersama siapa yang dia sayangi”. (Muttafaqun ‘Alaih)
Siiru ‘ala barakatillah.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
28 Oktober 2020 l 12 Rabi’ulawal 1442H