Allah Taala berfirman:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِی یُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran: 31)
Allah menjelaskan antara tanda kita seorang hamba yang benar-benar mencintai Allah ialah dengan mengikuti segala yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Setiap segi kehidupan ini telah ditunjukkan oleh Baginda SAW akan caranya berlandaskan Islam, baik hal peribadi, kekeluargaan, ekonomi, kemasyarakatan mahupun kenegaraan yang terkadang dilupakan oleh sesetengah pihak.
Inilah nilai Islam yang sebenar, agama yang bukan sahaja tentang ritual ibadah, nikah kahwin dan perihal kematian. Ia adalah panduan cara hidup manusia secara keseluruhannya.
Tambahan lagi, bagaimana kita tidak dapat mencintai Baginda, sedang sosok agung ini sangat mencintai kita walaupun tidak pernah bertentang mata. Begitu banyak pengorbanan Baginda, hanya untuk memastikan hidup kita sejahtera dan penuh rahmat dengan agama ini.
Firman Allah Taala:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Surah Al-Anbiya’: 107)
Marilah kita menzahirkan rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW ini dengan mengamalkan Islam itu sepenuhnya, menjadi duta Islam kepada masyarakat agar mereka merasai kebaikan Islam dan tidak dipengaruhi oleh fahaman-fahaman yang salah tentang Islam.
Semoga dengan rahmat Allah dan usaha kita beramal ini, kita dapat bersama dengan Nabi SAW yang kita cintai di akhirat kelak.
Siiru ‘ala barakatillah.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
18 Oktober 2021 l 12 Rabi’ulawal 1443H