MARANG – Program candat sotong yang dianjurkan sempena Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally berjaya menarik perhatian pelancong antarabangsa, terutamanya dari Jerman yang terkenal dengan minat mendalam terhadap budaya dan aktiviti tempatan.
Prof Khaled Karrai, pesara pensyarah dari University of Munich, berkongsi keterujaannya ketika mengikuti aktiviti candat sotong di perairan Marang.
“Ini pengalaman yang sangat unik. Saya tidak pernah cuba candat sotong secara langsung dan kemudian makan hasil tangkapan di atas bot.
“Ia sangat berbeza dan menyeronokkan dan saya tidak pernah merasai pengalaman ini di tempat lain,” katanya kepada pemberita ketika program berkenaan.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.
Razali berkata program tersebut amat penting untuk mempromosikan pelancongan laut Terengganu sebagai tarikan utama, terutama kepada pelancong luar negara.
“Sail Malaysia 2025 bukan sahaja menunjukkan keindahan alam semula jadi negeri ini, tetapi juga memperkenalkan budaya tempatan seperti candat sotong.
“Saya berharap program sebegini dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk nelayan di Marang melalui pelancongan berasaskan pengalaman dan budaya,” katanya.
Seorang doktor bidang kejuruteraan mekanikal dari Jerman, Dr Frank turut melahirkan rasa kagum dengan keindahan laut Terengganu dan pengalaman candat sotong.
“Pengalaman ini membuka mata saya tentang keunikan budaya dan pelancongan di Malaysia, terutama di Terengganu.
“Ia sangat berharga dan berbeza daripada apa yang saya pernah alami sebelum ini,” ujarnya.