Home Berita PAS Perak

MAT pemuda PAS Teluk Intan medan muhasabah anak muda

140
SHARE

Oleh: Ibnu Sam
19 Februari 2023

TELUK INTAN: Dewan Pemuda PAS Teluk Intan telah melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-41 yang dihadiri hampir kesemua perwakilan daripada 16 cawangan yang bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), semalam.

Perasmian MAT pemuda PAS Teluk Intan kali ini telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Muhammad Zulfahmi Ramli seterusnya menjadi pemerhati mesyuarat.

Mantan Ketua Pemuda PAS Teluk Intan, Muhd Ferdaus berkata Mesyuarat Agung adalah tempat anak muda PAS bermuhasabah setelah setahun berlalu, disamping merancang dan memikirkan perjalanan pada masa akan datang.

“Semua pihak sama ada daripada pihak pimpinan atau perwakilan yang mewakili ahli bawahan hendaklah berlapang dada dalam menerima teguran dan kritikan.

“Harapanya segala teguran dan kritikan tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memajukan jemaah,” ujarnya.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Azhar Rafiei sekali gus turut memberikan kata-kata nasihat buat kepimpinan dan perwakilan.

Mesyuarat Agung kali ini turut menyaksikan pertukaran Ketua Pemuda PAS Teluk Intan yang baharu, disandang oleh Nurhafizul Badrul Hisham.