Oleh : Suziana Ghani
25 Julai 2020
KOTA MARUDU: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kudat kali ke-7 telah berlangsung dengan jayanya di sini petang tadi.
Dalam ucapan perasmian, Nemrone Loveh, Yang Dipertua PAS Kawasan Kudat mengingatkan bahawa MAT merupakan medan untuk memperkasakan gerak kerja parti ke arah lebih baik dan teratur.
Nemrone turut menyeru semua ahli supaya saling bekerjasama membawa agenda parti seiring dengan usaha kerajaan dalam mentadbir negara.
“Bermula dari sekarang, setiap ahli perlu bersedia menghadapi pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja”, ujar Nemrone.
Sementara itu, Abu Luqman Mohd, Pengarah MAT mengharapkan kepada semua ahli, perwakilan dan pemerhati supaya dapat menemui titik persamaan untuk sebuah kesatuan melalui wehdatul fikri dan wehdatul amal.
Menariknya semasa majlis perasmian, wakil Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah turut hadir memeriahkan majlis yang diketuai oleh Satail Majungkat, Pengerusi DHPP Sabah.
Turut hadir dalam majlis perasmian semua pimpinan PAS Kawasan Kudat, Urusan Ulama PAS Kudat dan Dewan Muslimat PAS Kudat.