Home Berita PAS Sabah

MAT Muslimat Keningau perkasa tarbiah perkukuh ukhuwah

33
SHARE

Oleh : Mimi Hazwa MS
11 MEI 2025

KENINGAU: Memperkasa Tarbiah, Memperkukuh Ukhuwah menjadi tema yang diangkat dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-9 Dewan Muslimat PAS Kawasan Keningau pada Sabtu bertempat di Dewan Kisaie, Sekolah Rendah Seri Tahfiz Al Ilmi Keningau.

Hadir sebagai perasmi merangkap pemerhati untuk MAT kali ini ialah Ketua Biro Tarbiah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Siti Sarah Amijudin.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan agar semua pimpinan yang akan dilantik dan dipilih pada sesi baharu sentiasa bersedia untuk menerima apapun jawatan yang diberikan dengan hati terbuka, tidak menolak amanah yang akan dipikul dan sentiasa berniat untuk belajar ilmu dengan pimpinan yang lebih berpengalaman.

“Muslimat PAS Keningau harus sentiasa istiqamah menjadikan dan melaksanakan usrah di peringkat cawangan khususnya dan kawasan amnya sebagai platform penting bagi menguatkan tarbiah dan ukhuwah dalam kalangan ahli pimpinan,” katanya.

Empat perwakilan cawangan menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ucaptama ketua Dewan Muslimat PAS Keningau sesi lalu dengan memberikan pandangan yang membantu dan membina ke arah penambahbaikan kepimpinan yang akan datang.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ini juga dilihat sebagai platform bagi memperkukuhkan saf kepimpinan, merancang strategi dan gerak kerja yang lebih teratur dan sistematik serta memastikan ukhuwah dalam kalangan ahli semakin kuat demi kelangsungan kepimpinan perjuangan PAS di kawasan Keningau.