Home Berita PAS Terengganu

Masyarakat Berperanan Mencegah Mungkar

6
SHARE

DUNGUN – Masyarakat sendiri merupakan entiti penting yang berperanan dalam mencegah kemungkaran dan maksiat yang berlaku di kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, semua orang ada peranan, bukan tunggu ada kad kuasa untuk mencegah perkara maksiat.

“Kita semua ada peranan, bukan tunggu ada kad kuasa untuk mencegah perkara maksiat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Dialog Syariah Peringkat Daerah Dungun yang berlangsung di Dewan PLK Felda Kerteh 2/3, pagi tadi.

Program Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwan Agama Terengganu itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan Pejabat Daerah Dungun, melibatkan Pengerusi JPKK Daerah Dungun serta Imam Bilal Daerah Dungun dalam satu platform dialog terbuka membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan syariah di peringkat bawah.

Satiful juga menekankan bahawa usaha mencegah maksiat bukan hanya terletak di atas bahu jabatan agama atau pihak berkuasa semata-mata.

“Dalam Islam, amar makruf nahi munkar adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya tugas jabatan agama atau pihak penguat kuasa sahaja. Sebagai jiran, ahli kariah, imam, guru, pemimpin komuniti kita semua adalah ‘penguatkuasa’ dalam ruang lingkup kita masing-masing.

“Kadang-kadang teguran secara peribadi, nasihat yang ikhlas, atau sekadar menunjukkan ketegasan moral pun sudah menjadi satu bentuk pencegahan. Lebih baik kita cegah awal secara berjemaah, dari biar penyakit sosial ini merebak sehingga perlu campur tangan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak masyarakat agar lebih cakna dan berani menegur kemungkaran dengan cara yang berhemah dan penuh hikmah, tanpa perlu menunggu kuasa rasmi untuk bertindak.

 

Menurut beliau, Program Dialog Syariah yang diadakan merupakan medan yang sangat bermanfaat untuk bertukar pandangan, menyelami cabaran semasa dan memperkukuh kerjasama antara masyarakat dan institusi agama.

“Bila masyarakat sedar peranan mereka, kita bukan sahaja dapat mencegah kemungkaran, malah dapat membina komuniti yang lebih harmoni, berkat dan dirahmati,” tambahnya.

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu dan forum yang membincangkan peranan masjid dalam pembangunan komuniti serta pendekatan pendidikan dan dakwah bagi memperkasakan masyarakat muslim setempat.