Home Berita PAS Terengganu

Masjid, Surau Santuni Bikers Ke TIBW25

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri, melalui agensi-agensi yang menguruskan masjid dan surau, komited menyediakan kemudahan kawasan rehat di premis ibadah berkenaan sebagai usaha menyantuni para pengunjung yang akan hadir ke Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, inisiatif tersebut merupakan simbolik sokongan dari negeri Terengganu kepada para penunggang motosikal (‘bikers’) yang sanggup meredah perjalanan jauh demi hadir memeriahkan Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25).

“Saya telah difahamkan ramai kelab-kelab yang berada di utara dan juga di selatan, seperti Kedah dan Penang akan datang secara berkumpulan. Dan ada yang berhasrat untuk ‘ride’ pada malam hari.

“Tetapi homestay di negeri Terengganu sekarang ini kebanyakannya sudah penuh. Jadi saya telah pun berpakat dengan agensi-agensi masjid dan surau negeri Terengganu dalam hal ini.

“Supaya mereka menyantuni setiap bikers yang singgah untuk solat dan juga beristirahat di masjid dan surau negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara ini juga menunjukkan bahawa sokongan terhadap penganjuran program bukan hanya datang daripada rakyat biasa, malah turut disambut baik oleh pelbagai unit dakwah di negeri Terengganu.

“Sokongan ini bukan sahaja daripada orang ramai, tetapi juga daripada unit-unit dakwah negeri. Ini mencerminkan bahawa Terengganu memang terkenal dengan adab dan santunnya, dan kita sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja yang datang ke negeri ini.

Datuk Razali berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sesi sidang media selepas Majlis Perasmian TIBW25, bertempat di Dataran Syahbandar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato’ Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.

Beliau turut menegaskan kepada para pengunjung untuk mengutamakan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan pergi dan pulang, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang berada di jalan raya.