Home Berita PAS Terengganu

Masjid Seberang Takir sambut 100,000 Peserta RXZ

6
SHARE

KUALA NERUS – Masjid Seberang Takir kini bersiap sedia sepenuhnya bagi menerima kehadiran lebih 100,000 peserta RXZ Members sempena perhimpunan mega yang bakal berlangsung di sekitar Kuala Nerus.

Sebagai antara lokasi tumpuan utama, masjid berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, tempat letak motosikal serta pasukan petugas khas bagi memastikan kelancaran urusan pengunjung dan kebersihan kawasan sepanjang program berlangsung.

Timbalan Pengerusi Masjid, Halim Che Ibrahim berkata, sebagai tanda meraikan kehadiran tetamu, pihak masjid mengambil inisiatif menyediakan jamuan istimewa.

“Kita menjangkakan lebih 3,000 orang akan hadir. Bagi meraikan mereka, masjid menyediakan lebih 160 kilogram daging lembu, bersamaan kira-kira dua ekor lembu untuk jamuan bersama,” katanya.

Menurut beliau, tujuan utama usaha ini bukan sahaja untuk menyambut komuniti RXZ Members, tetapi juga mengambil peluang mengimarahkan masjid dalam kalangan anak muda serta pelawat luar.

“Alhamdulillah, sambutan penduduk setempat sangat positif. Tiada sebarang isu atau aduan, malah ramai turut bersama membantu dalam persiapan,” jelasnya.

Selain mengeratkan hubungan masyarakat, program ini juga diharap dapat memperkenalkan Masjid Seberang Takir sebagai masjid pelancongan, selari dengan peranannya sebagai pusat tumpuan dan ikon di kawasan ini.

Seorang penduduk tempatan, Ridhwan Takwa, berkata beliau menyambut baik kehadiran para peserta sambil menasihati agar semua pengunjung menjaga adab, kebersihan serta menghormati suasana rumah ibadah.

“Ini peluang untuk kami menunjukkan keramahan masyarakat Seberang Takir kepada pengunjung dari seluruh negara,” katanya.

Perhimpunan RXZ Members merupakan acara tahunan yang menghimpunkan ribuan peminat motosikal RXZ dan dijangka membawa limpahan pengunjung luar biasa ke negeri Terengganu kali ini.