HULU TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, tampil memberikan penjelasan berhubung isu ketiadaan bekalan elektrik yang dihadapi enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, yang tular baru-baru ini.
Menurut beliau, isu tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu melibatkan tiga isu utama iaitu ketiadaan jalan perhubungan, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.
“Penduduk di kawasan ini sebenarnya tinggal agak terpencil, kira-kira 1.5 kilometer dari perkampungan utama Jerlang. Ketika kami mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018, saya sendiri telah memohon kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.
“Alhamdulillah, dua daripada tiga masalah utama telah berjaya diselesaikan. Bekalan air bersih telah disalurkan dengan kos sebanyak RM280,000, manakala kemudahan jalan juga sudah dibina sehingga ke hadapan rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maliaman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, mengakui bahawa bekalan elektrik masih belum dapat disalurkan ke kawasan berkenaan berikutan kos pemasangan tiang elektrik yang agak tinggi.
“Saya sendiri telah membuat permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 2019. Malah pihak TNB juga sudah turun padang meninjau lokasi tersebut, dan perkara ini telah saya bangkitkan berkali-kali dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah.
“Kita harap selepas tularnya berita ini, semua pihak akan memberikan perhatian serius terhadap keperluan penduduk Kampung Jerlan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan individu yang prihatin dengan nasib penduduk dan berharap usaha membawa bekalan elektrik ke kawasan tersebut dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
“Saya amat menghargai keprihatinan semua pihak. Insya-Allah, dengan kerjasama semua, masalah ini akan dapat diselesaikan demi keselesaan dan masa depan anak-anak di kampung ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan enam keluarga di Kampung Jerlan, Ajil, masih bergantung kepada generator sejak lebih 30 tahun lalu untuk mendapatkan bekalan elektrik terhad hanya lima jam setiap malam, dengan kos bahan api mencecah RM300 sebulan.