KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah melupuskan 379,400 batang rokok di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu pada hari ini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, jumlah rokok yang diseludup tersebut mempunyai nilaian lebih RM1.2 juta.
Katanya, rokok yang dirampas pada April tahun ini merupakan rokok yang tidak bercukai.
“Proses pelupusan dilakukan dengan menggunakan mesin pengisar dan sisa pelupusan.
“Seterusnya akan dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sungai Ikan, Kuala Nerus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambah Khairulanuar, proses tersebut disaksikan oleh pegawai penyaksi pelupusan di tempat kejadian.
“Maritim Negeri Terengganu sentiasa melakukan pemantauan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bersama agensi keselamatan lain,” ujarnya.