Minda Presiden PAS
MARAHKAN MELAYU BERSATU BERSAMA ISLAM
Saya mengikuti ramai yang menghentam PAS kerana menyertai dua himpunan perpaduan bagi menyatukan bangsa Melayu, iaitu himpunan bersama UMNO dan himpunan bersama ilmuwan dan NGO.
Alasan mereka yang pertama kerana semangat kebangsaan yang dikatakan bercanggah dengan Islam. Kedua, pihak yang menjadi penganjur dilihat berlaku pertembungan.
Media PH yang setia kepada agenda perjuangan yang pragmatik atau oportunis tanpa berselindung mendedahkan pandangan pihak bukan Islam yang tidak senang dengan himpunan tersebut demi mendapat sokongan bukan Islam dan mengaburi mata umat Islam.
Adapun segelintir yang buta Al-Quran mengambil kenyataan bukan Islam yang dikatakan merujuk kepada pendekatan Al-Marhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof. Zulkifli Muhamad dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dianggapnya longgar tanpa sempadan seperti mereka, sedangkan Al-Quran ditetapkan sebagai sempadan yang menjadi sumber dan hukum tertinggi setiap ahli PAS, yang tidak boleh disamakan dengan paderi dan sami yang boleh meminda perintah kitab suci mereka.
Perumpamaannya seperti bertanya berkenaan ilmu angkasa lepas kepada penduduk di tengah hutan Afrika yang buta huruf, bukan kepada ahli saintis dalam lapangannya. Kepada yang jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil) menganggap penjelasan mereka adalah benar, walaupun salah dan sesat lagi menyesatkan.
Selamatkan Kaum Bangsa Dahulu Bersama Islam
Al-Quran adalah panduan kepada penganut Islam yang setia dan memberi petunjuk bahawa setiap rasul memulakan dakwah Islam dengan menyelamatkan kaum bangsanya dahulu.
Al-Quran melaporkan bahawa setiap rasul memulakan ucapannya dengan perkataan: “يا قوم” (Wahai kaum bangsaku yang tersayang).
Al-Quran juga menceritakan perintah Allah kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S.:
﴿فَأْتِيَاهُ فَقُولَا إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا تُعَذِّبْهُمْ قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكَ وَالسَّلَامُ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى٤٧ إِنَّا قَدْ أُوحِيَ إِلَيْنَا أَنَّ الْعَذَابَ عَلَى مَنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّى٤٨﴾ [طه: 47-48]
“Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun), kemudian katakanlah: “Bahawa sesungguhnya Kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah. (47); Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya”. (48) (Surah Taha: 47-48)
Ayat ini menerangkan tentang dakwah Nabi Musa A.S. kepada Firaun, pada masa yang sama menyelamatkan kaum bangsanya.
Firman Allah kepada Nabi Muhamad S.A.W. yang diutuskan kepada seluruh manusia:
﴿وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ٢١٤﴾ [الشعراء: 214]
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”. (Surah As-Syu’ara’: 214)
Walaupun dakwah Nabi Muhammad S.A.W. itu kepada seluruh manusia, namun dukungan kaum bangsa adalah kekuatan politik kepimpinan negaranya.
Islam juga tidak mengikat secara khusus kaum tertentu yang mendominasi kerajaan dengan memberi amaran kepada bangsa Arab supaya bersama Islam. Maka Islam menolak bangsa yang meninggalkan Islam termasuk bangsa Arab.
Firman Allah:
﴿وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾ [محمد: 38]
“Dan jika kamu berpaling (daripada perjuangan menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu”. (Surah Muhammad: 38)
Apabila bangsa Arab meninggalkan Islam, maka kepimpinan berpindah kepada bangsa lain yang menganut Islam seperti bangsa Kurdish, Turki dan lain-lain.
Fahamlah bahawa bangsa Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia dan beragama Islam, maka mereka sahaja boleh disatukan dengan Islam yang menjadi asas kepada negara ini, tanpa menafikan keadilan Islam terhadap semua kaum.
Fahamlah bahawa penjajah yang menyusun masyarakat majmuk telah meminggirkan kedudukan orang Melayu Islam sehingga tercorot di luar bandar dan di segenap lapangan. Maka menjadi kewajipan membetulkan kedudukan mereka tanpa membatalkan kerakyatan kaum bangsa lain. Kewajipan ini bagi setiap orang Islam termasuk bekas pemimpin PAS terdahulu yang disalahfahamkan.
Garis Sempadan Hubungan Dengan Bukan Islam
Ketahuilah bahawa Al-Quran telah menunjukkan garis panduan kepada penganutnya dalam hubungan dengan kaum bukan Islam:
﴿لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ٩﴾ [الممتحنة: 8-9]
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Mumtahanah: 8-9)
Ayat-ayat ini adalah garis sempadan yang wajib difahami oleh penganut Islam terhadap tanah air sendiri dan juga bukan Islam yang berada dalam masyarakat Islam.
Tegasnya umat Islam wajib mempertahankan kuasa politik Islam yang memimpin dan berkuasa dengan menegakkan konsep adil untuk semua. Jangan pula orang bukan Islam merancang untuk meminggirkan orang Islam, apatah lagi di bumi kepunyaan umat Islam.
Orang Islam yang tidak peka dalam perkara ini menzalimi diri sendiri, agama dan bangsanya. Manakala orang bukan Islam yang melanggar sempadan ini adalah musuh agama Islam, bangsa dan negaranya.
Rasulullah S.A.W. yang menjadi teladan kepimpinan Islam melaksanakan petunjuk Al-Quran dengan memulakan langkah menyatukan kaum bangsanya bersama Islam. Pada masa yang sama, Islam yang adil ditunjukkan kepada bangsa Yahudi, penganut Kristian dan Musyrikin Arab yang masih menyembah berhala.
Piagam Madinah yang dimeteraikan menjadi kontrak sosial yang bersejarah dalam kalangan masyarakat majmuk dan menegaskan Islam memimpin negara bermasyarakat majmuk. Mereka yang mengkhianati piagam ini ditentang sekeras-kerasnya.
Maka salahkah orang Melayu bersatu bersama Islam bagi menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri?
Tanya kepada diri mereka yang menentang atau tidak senang dengan usaha ini, sama ada terpalit dengan penyakit Islamofobia, senjata kuman yang sedang ditabur sekarang atau tidak mengenal Islam daripada sumber asli tetapi diambil daripada sumber orientalis yang menjadi bala tentera iblis dan syaitan yang menentang Islam sejak Nabi Adam A.S.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Safar 1440 / 5 Oktober 2019