KUALA TERENGGANU – Tiga tokoh media berpengaruh dan berjasa dari Terengganu terus menjadi inspirasi dalam dunia penyiaran, kewartawanan dan pengisian dakwah melalui media, hasil dedikasi serta pencapaian cemerlang mereka di peringkat negeri dan nasional.
Pengiktirafan terhadap ketiga-tiga tokoh tersebut diberikan dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu 4.0 yang berlangsung penuh penghargaan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Antara tokoh yang diraikan ialah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ulama berwibawa kelahiran Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu, yang pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari tahun 2020 hingga 2021.
Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ke-7 dari 2014 hingga 2020, dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama tiga tahun bermula Mac 2020.
Berpendidikan tinggi dalam bidang syariah, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana dari Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah, Damsyik, serta PhD dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan penyelidikan khusus tentang institusi fatwa.
Beliau dikenali sebagai sosok yang menyampaikan dakwah dan ilmu agama secara berhemah, berfakta dan inklusif, serta menjadi rujukan dalam isu-isu semasa keagamaan dan muamalat moden.
Sementara itu, tokoh penyiaran Islam negara, Ahmad Noor Sulaiman, turut menerima pengiktirafan atas sumbangan besarnya dalam menerbitkan rancangan berbentuk keagamaan yang berimpak tinggi di TV3, termasuk program tersohor Jejak Rasul dan Halaqah.
Sebagai Penerbit Eksekutif Jabatan Kandungan dan Pengisian Islam TV3, beliau aktif menghasilkan pelbagai rancangan bual bicara, dokumentari serta majalah keagamaan yang menjadi rujukan ramai.
Antara pengiktirafan yang pernah diterima termasuk Anugerah Galakan Keterampilan Berbahasa Televisyen (DBP, 2005), Penyampai Rancangan Agama TV Lelaki Terbaik (2007) dan Anugerah Khas Juri Anugerah Sri Angkasa 2022.
Turut menerima penghargaan ialah Suhaimi Taib, seorang tokoh kewartawanan yang telah lama menyumbang dalam bidang penulisan dan penerbitan media negeri.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarang Warta Darul Iman dan Penerbit Siaran Darul Iman di bawah Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPKNT), selain merupakan bekas Ketua Pemberita Akhbar Harakah dan Wartawan Sambilan Berita Harian.
Antara pencapaiannya termasuk Anugerah Kewartawanan Esso Kawat (1998) dan Anugerah Penulisan Terbaik Berita Umum Dalam Talian oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT, 2018).
Ketiga-tiga tokoh ini bukan sahaja mengharumkan nama Terengganu, malah memberi sumbangan besar dalam mengangkat nilai kewartawanan beretika, memperkasa kandungan Islamik berkualiti, dan menyebarkan dakwah secara efektif melalui media arus perdana negara.