Home Artikel PAS Wilayah

Mansuh Akta Hasutan : Bebas Tetapi Babas?

693
SHARE

MANSUH AKTA HASUTAN: BEBAS TETAPI BABAS?

Minggu ini telah bermula sesi Dewan Rakyat mesyuarat kedua bagi penggal kedua.

Sidang ini hanya akan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) dengan beberapa akta yang diunjurkan menjadi perhatian (outlook) khususnya penghapusan Akta Hasutan.

Sebenarnya cadangan pemansuhan akta tersebut berlaku sejak zaman DS Najib sebagai PM lagi.

Cuma pemansuhan tersebut dibantah oleh ramai pihak termasuklah oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abd Hamid yang menyebabkan ramai dalam kalangan pimpinan UMNO yang u-turn, begitu juga DS Najib sendiri [1].

Persoalannya, mengapa ia tidak perlu dimansuhkan?

Pertama, kita perlu sedar antara pertikaian terhadap Akta Hasutan adalah ia dirujuk sebagai “archaic”, bersifat “hate crime” dan bertentangan dengan kebebasan bersuara.

Malah, sesetengah pihak turut menuduh Kerajaan BN telah menyalahgunakannya demi kepentingan politik.

Dr EY Fathi Yusof pernah menulis secara kritis menjawab mengapa kritikan dihalakan terhadap akta ini yang menyentuh aspek “penyalahgunaan” akta ini sendiri serta “salah faham terhadap peranannya” [2].

Jelas sekali beliau cuba melakukan garis yang membezakan di antara “salah guna” dan “peranan” akta ini dalam sosio-politik negara.

Akta Hasutan dilihat “jahat” kerana salah guna, bukan kerana peranannya. Tidak perlu kepada mansuh, bahkan cukup dengan pinda untuk menjamin keadilannya.

Kedua, akta ini telah melalui pindaan terakhir pada 2015. Antara intipatinya adalah penambahan klausa “ill will, hostility dan hatred on the ground of religion” – penghinaan atas nama agama juga dianggap satu kesalahan.

Pindaan itu juga membolehkan seseorang mengkritik Kerajaan [3], suatu pembaharuan yang wajar disokong walaupun kita mungkin mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai terma “mengkritik” tersebut dalam lingkungan yang diterima.

Ketiga, bahagian ini paling penting iaitu pada Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan mengenai taksiran “kecenderungan menghasut” termasuk mempersoalkan hak, kedudukan, keistimewaan, prerogatif dan sebagainya yang dilindungi di bawah Bahagian III atau Perkara 152,153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan ini diikat bersama Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan dan kedua-duanya dimasukkan dalam peruntukan undang-undang pasca peristiwa berdarah 13 Mei 1969!

Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan pula melibatkan keistimewaan Melayu, Bahasa Melayu serta kedudukan raja-raja [4].

Roh kedua-dua peruntukan ini dimasukkan oleh Tun Razak adalah kerana mahu mengelakkan tragedi berdarah tersebut berulang.

Di sinilah tunjangnya. Dalam bahasa lain, menghapuskan Akta Hasutan secara tidak langsung menghapuskan tunjang penting ini.

Tambahan lagi, jika Parlimen mahu meminda atau memansuhkannya, ia memerlukan kepada perkenaan Majlis Raja-Raja serta persetujuan 2/3 majoriti pada bacaan Kedua dan Ketiga di kedua-dua Majlis Parlimen [5]. – Rujuk Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan, meskipun ada pihak yang memandang ia bukan suatu keperluan.

Jadi, titik fokal penting dalam Akta Hasutan adalah kepada Seksyen 3(1)(f) ini vis a vis Perkara 10(4) tadi.

Sehingga Tun Abd Hamid memberikan persoalan yang membuatkan kita akan terkesima, “apakah kita mahu peristiwa 13 Mei berulang?” [1] – tanpa cegah rintang yang berkesan dengan pemansuhan akta ini.

Terus terang juga kita tidak boleh bersandar kepada hujah bahawa Akta Keharmonian Kaum akan lebih baik, apatah lagi kedudukan Menteri Perpaduan turut dipertikai kredibilitinya.

Bahkan tidak guna untuk kita sengaja mencipta propaganda kosong kalau kesemua ini secara nyata adalah sebahagian dari “puzzle” yang sedang membentuk lakaran sebenar siapa parti demokratik itu.

___

Rujuk:

[1] Tun Abd Hamid, “Usaha Memansuhkan Akta Hasutan: Kali Kedua”, 23 Mei 2019.

[2] Dr Fathi Yusoff, “Apa Masalah Dengan Akta Hasutan”, 11 Mei 2019.

[3] Tun Abd Hamid, “Harapan Terhadap Akta Hasutan (Pindaan) 2015”, 15 April 2015.

[4] Prof Shamrahayu, “Pemansuhan Akta Hasutan Perlu Perkenan Raja-Raja”, 18 Oktober 2018.

[5] Prof Shamrahayu, “Akta Hasutan Perlu Perkenan Raja”, 24 Januari 2019.

Ditulis oleh Muhammad Hafiz Bin Mansor, AJK Pemuda Pas Batu