BESUT – Jenazah Nurul Fatihah Setaman, 22, menjadi jenazah mangsa kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang terakhir dikebumikan, hari ini.
Allahyarhamah Nurul Fatihah selesai disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, Jerteh pada jam 10.30 pagi ini.
Sebelum itu, rakannya Nur Izyanti Muhammad Azahar, 21, selesai dikebumikan di tanah perkuburan persendirian Kampung Lubuk Kawah Jerteh, pada jam 10.00 pagi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Norkhalid Salimin memaklumkan, jenazah Nurul Fatihah merupakan yang terakhir disemadikan daripada 15 penuntut UPSI yang terlibat.
“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Sehingga ke detik ini semua berjalan lancar.
“Untuk makluman, ada 15 lokasi berbeza, UPSI prihatin dengan kebajikan pelajar, kita ‘assign’ satu pusat tanggungjawab satu lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, hari ini.
Dr Norkhalid turut berterima kasih kepada semua pihak terbabit dalam memudahkan dan menguruskan kesemua mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Tambahnya, ia termasuk sokongan daripada universiti awam kesepakatan dan kebersamaan dalam menghadapi krisis seperti itu.