SETIU – PAS Kawasan Setiu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan segera kepada Kamariah binti Mat Daud yang ditimpa musibah rumahnya terbakar di Kampung Langkap Baru, Ahad lalu.
Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Langkap, Azmi Maarof berkata, dalam kejadian sekitar jam 2.00 pagi itu, mangsa yang mesra disapa Kak Yah kehilangan tempat tinggal dan kini menumpang di rumah anaknya yang terletak bersebelahan.
“PAS sampaikan sumbangan tunai kepada mangsa, manakala JKM Setiu menyerahkan barangan keperluan asas.
“Lebih penting, JKM akan menguruskan pembinaan rumah baharu melalui Tabung Darul Iman bagi memastikan mangsa mendapat kediaman selesa,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Langkap berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, bantuan ini bukan sekadar untuk meringankan beban mangsa dalam jangka masa pendek, tetapi juga memberi jaminan keselamatan dan keselesaan jangka panjang.
Azmi menambah, usaha pantas ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa dan masyarakat setempat untuk memastikan mangsa kebakaran tidak terbiar tanpa perlindungan.