Home Berita PAS Terengganu

Mangsa banjir tak berdaftar layak terima bantuan

56
SHARE

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir yang tidak berdaftar di negeri ini tetap layak menerima bantuan tunai yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kelayakan itu akan dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mengesahkan penduduk di sesuatu kawasan benar-benar terkesan sepanjang tempoh berlakunya bencana terbabit.

“Ada beberapa syarat yang berdaftar serta tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu memang layak dapat, termasuk mereka yang daftar tetapi tidak tinggal di PPS.

“Jadi untuk mereka yang terkepung banjir, kawasan rumah dikelilingi banjir walaupun kediamannya tidak dinaiki air serta disahkan memang rumahnya tidak selamat oleh pihak keselamatan terutamanya polis tetapi dia tidak berpindah boleh buat permohonan melalui JPKK.

“JPKK yang akan mengesahkan sama ada mereka benar-benar terlibat banjir ataupun tidak kemudian namanya akan diangkat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diproses bagi menerima bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.

Sementara itu, Hanafiah menyatakan pihak Kerajaan Negeri juga sedang menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah hakisan pantai daripada terus berlaku.

“Menteri yang baharu dilantik perlu menyelesaikanya segera kerana semasa Kerajaan dahulu telah dibuat penelitian untuk diselesaikan perkara ini,” katanya.