Home Berita PAS Terengganu

Mangsa banjir di Terengganu naik mendadak

222
SHARE

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu naik secara mendadak dengan penambahan sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata sebanyak lima PPS dibuka yang melibatkan daerah Kuala Terengganu, Dungun, Setiu , Besut dan Kemaman susulan banjir di beberapa tempat di daerah berkenaan.

Katanya, lima PPS tersebut menempatkan sebanyak 627 mangsa daripada 175 keluarga.

“Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 376 orang daripada 94 keluarga yang ditempatkan di empat buah PPS dalam daerah tersebut.

“Manakala di Setiu pula mencatatkan seramai 144 mangsa daripada 54 buah keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambahnya lagi, daerah Besut merekodkan seramai 88 mangsa daripada 22 keluarga sementara dua PPS dibuka di daerah berkenaan.

“Manakala di daerah Dungun dan Kuala Terengganu pula masing-masing mencatatakan sebanyak empat dan 15 mangsa daripada satu dan empat keluarga,” katanya.

Malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (kategori bahaya) dijangka berlaku di seluruh negeri Terengganu sehingga Selasa depan.